Pages

Showing posts with label Malay Literature. Show all posts
Showing posts with label Malay Literature. Show all posts

Friday, May 18, 2012

Pantun Melayu lama

Assalamualaikum murid-murid..hari nie cikgu Nora nak ajar mengenai pantun.. kalau awak semua nak tahu, pantun pada zaman dahulu kaya dengan falsafah. setiap pembayang yang digunakan mempunyai maksud tersendiri, bukan sekadar untuk melengkapkan maksud sahaja. Seperti mana yang kita tahu, setiap pantun perlu mempunyai pembayang dan maksud, dan rimanya mesti sama iaitu a-b-a-b. Tetapi, pantun dahulu menggunakan pembayang yang sangat kena dengan maksud pantun. Contohnya perhatikan pantun ini :

pucuk pauh delima batu,
air sambilan di tapak tangan,
sungguh jauh negeri satu,
hilang di mata di hati jangan.

Baiklah. Sekarang kita lihat apa maksudnya. Kita ambil dulu maksud pantun tersebut, "sungguh jauh negeri satu, hilang di mata di hati jangan". Negeri satu yang dimaksudkan ialah negeri akhirat. Jadi, maksudnya akhirat itu satu negeri yang jauh, di mana mereka yang pergi tak akan kembali lagi. "Hilang di mata di hati jangan" pula bermaksud walaupun dia telah pergi jauh, harap tak dilupakan arwah. Oleh itu, hendaklah sentiasa berdoa untuk mereka yang telah pergi. Minta agar Allah ampunkan segala dosa-dosanya.

Kemudian, kita selusuri pembayangnya pula, iaitu "pucuk pauh delima batu". Adakah orang dahulu sengaja suka-suka menggunakan pucuk pauh delima batu di dalam pembayang hanya untuk melengkapkan maksud dan agar sama dengan rima akhirnya? Tidak. "Pucuk pauh delima batu" ialah bahan yang digunakan untuk memandikan mayat. "Air sambilan di tapak tangan" pula bermaksud air daripada pucuk pauh dan delima batu itu, dituang pada telapak tangan terlebih dahulu sebelum jatuh ke atas mayat.

Begitu juga dengan pantun ini :

pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Kenapa pisang emas yang digunakan, dan kenapa pula pisang itu diletak di atas peti?  Jawapannya ialah pisang emas digunakan untuk menunjukkan tempoh orang dahulu berlayar. Tambahan pula, pisang ini masak sesisir-sesisir, cepat masak, tahan lama untuk dibawa belayar, dan boleh mengatasi mabuk laut. Tetapi kenapa pula kena letak atas peti, bukan di bawah peti atau dalam peti? Apa pula kaitan Pisang emas dengan hutang emas dan belayar? Pisang ialah simbol kemiskinan masyarakat dahulu. Orang miskin terpaksa belayar demi mencari kekayaan untuk membayar hutang mereka.

Demikianlah orang-orang dahulu yang bijaksana tak perlu mengambil kursus Kesusasteraan Melayu di UPSI untuk mencipta sebuah pantun yang penuh keindahan, keajaiban, dan kekreatifan. Mereka mampu mencipta serangkap pantun yang membawa makna yang utuh tanpa perlu memisahkan struktur pembayang dan maksud. Kalau kita? Nak rima akhir saja sama, tapi maksud pembayang langsung tak ada motif. Asalkan rimanya sama. Ye tak?

Seronok juga cari maksud pantun. Ayuh teroka pantun lain pula!



Tuesday, October 11, 2011

Ringkasan Hikayat Raja Pasai



Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika menebas hutan untuk membuka negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dari sebuah pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya sebagai anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu dinamakan Merah Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Mereka mendapat dua orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum.
Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut.
Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silu membuka negeri Samudera. Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana berlakunya zaman kejatuhan Pasai.

Pada suatu hari, Merah Silau pergi berburu dengan membawa anjingnya, Si Pasai. Apabila baginda melepaskan Si Pasai, anjing itu terus menyalak di atas sebuah bukit yang tinggi. Lalu Merah Silau melihat di sana terdapat seekor semut yang sangat besar, sebesar seekor kucing. Kemudian, Merah Silau menangkap semut tersebut lalu dimakannya. Merah Silau kemudiannya menyuruh para pengikutnya menebas hutan untuk menjadikan kawasan itu sebuah negeri. Setelah siap, Merah Silau tinggal di kawasan itu dengan membuat istana miliknya bersama-sama dengan segala hulu balang dan rakyat jelata. Lalu, baginda menamakan negeri itu sebagai Samudera, sempena semut besar yang ditemuinya.
Nama negeri Pasai pula diambil daripada nama anjing Sultan Malikul Saleh. Pada suatu hari, Sultan Malikul Saleh pergi berburu dengan para pengikutnya di tepi laut. Turut bersama baginda ialah anjang peliharannya, Si Pasai. Setelah tiba di tepi laut, Si Pasai dilepaskan lalu masuk ke dalam hutan. Kemudian, Si Pasai bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang duduk berehat di atas suatu kawasan tanah tinggi. Si Pasai kemudiannya menyalak kepada pelanduk tersebut dan ingin menangkapnya. Sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk itu membalas salakan Si Pasai. Apabila Si Pasai mendengar salakan pelanduk tadi, ia pun kembali ke belakang iaitu di tempat asalnya. Setelah Sultan Malikul Saleh melihat kejadian yang berlaku itu, baginda pun cuba untuk menangkap pelanduk itu tadi. Namun, pelanduk itu dapat melarikan diri dari ditangkap oleh Sultan Malikul Saleh. Baginda kemudiannya menanyakan kepada semua hulu baling sama ada pernah melihat seekor pelanduk yang gagah sekali. Setelah itu, terlintas di fikiran Sultan Malikul Saleh untuk membuka negeri baru khas untuk anakandanya, Sultan Malikul Tahir. Setelah kembali ke negeri Samudera, baginda memerintahkan agar kawasan tersebut dibersihkan, lalu baginda mendirikan sebuah istana di kawasan itu. Tidak berapa lama kemudian, maka selesailah semua pembinaan di kawasan tanah tinggi tersebut kemudian anjing baginda, Si Pasai pun mati. Baginda kemudian memerintahkan agar Si Pasai ditanam di negeri yang baru dibuka itu. Sempena kematian Si Pasai, maka Sultan Malikul Saleh menamakan negeri baru itu sebagai negeri Pasai.
Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan kepada seorang sahabat bahawa suatu hari nanti akan muncul negeri di bawah angin yang bernama Samudera. Apabila berlakunya hal ini, maka hendaklah dihantar orang untuk mengislamkan orang-orang di negeri ini kerana di sinilah akan melahirkan ramai wali-wali Allah. Rasulullah juga berwasiat supaya rombongan yang bakal pergi ke sana singgah terlebih dahulu di negeri Mengiri untuk mengambil seorang fakir untuk dibawa ke Samudera. Wasiat tersebut kemudiannya sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Seorang ulamak yang bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal bagi menjayakan wasiat Rasulullah itu. Beliau dan orang-orangnya pun kemudiannya berlayar ke negeri Mengiri seperti yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad, iaitu sebuah negeri yang terletak di benua Hindi.
Negeri Meringi ini diperintah oleh seorang raja yang bernama Raja Muhammad. Menurut cerita, Raja Muhammad adalah daripada keturunan sahabat baginda S.A.W iaitu Saidina Abu Bakar. Sebaik sahaja beliau mendapat tahu ada kapal hendak berlabuh di negerinya bagi memenuhi permintaan Sharif Mekah, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai Raja Meringi yang baru. Selain itu, baginda juga melucutkan pakaian bangsawan yang ada di tubuhnya lalu menukar kepada pakaian orang fakir. Raja Muhammad yang telah menjadi fakir ini membawa pula seorang anaknya yang muda untuk meninggalkan istana dan bersama-sama menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama-sama menunaikan wasiat Nabi S.A.W.
Rombongan itu pun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi,mereka tidak pasti kedudukan negeri tersebut sehinggalah mereka tersasar ke negeri Barus, Lamuri dan Perlak. Walau bagaimanapun, rombongan ini turut singgah di negeri-negeri untuk mengislamkan raja dan penduduknya tetapi apabila disuruh membaca al-Quran yang dibawa dari Mekah, tidak ada seorang pun yang pandai membacanya.
Pada suatu malam, Merah Silau sedang tidur. Dalam tidur baginda bermimpi melihat seorang tua berjubah datang dan memegang dagunya. Kemudian, orang itu menutup mata baginda dengan tangannya. Orang dalam mimpi tersebut menyuruh Merah Silau mengucap dua kalimah syahadah. Merah Silau bertanya kepada lelaki tersebut cara untuk mengucap, lalu lelaki itu menyuruh Merah Silau membuka mulutnya lantas meludah ke dalam mulutnya. Orang itu kemudiannya mengisytiharkan bahawa Merah Silau sebagai raja, dan nama barunya ialah Sultan Malikul Saleh. Orang itu juga berpesan kepada Merah Silau agar hanya memakan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram, iaitu memakan binatang yang disembelih sahaja. Selain itu, orang tua itu juga memberitahu Merah Silau bahawa baginda sekarang berada dalam syariat agama Isam, iaitu agama Allah. Orang tua itu juga sempat mengingatkan Merah Silau bahawa dalam masa empat hari sahaja lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, dan Merah Silau hendaklah mengikut apa sahaja yang dibawa oleh rombongan tersebut tanpa banyak bantahan. Merah Silau kemudian dapat tahu bahawa orang lelaki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W. setelah terjaga, Merah Silau merasakan bahawa dirinya sudah dikhatankan. Kesan itu boleh dilihat nyata pada tubuhnya. Baginda juga sentiasa mengucapkan dua kalimah syahadah tanpa henti. Kemudian, baginda membaca al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat. Semua menteri dan hulu balang merasa hairan mendengar perkataan demi perkataan yang disebut oleh raja mereka, kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendengarnya.
Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail sampai ke Teluk Terli lalu berlabuh di situ. Fakir Muhammad terjumpa dengan seorang lelaki yang sedang menjala ikan lalu bertanya nama negeri tersebut dan nama ketuanya. Lelaki itu menjawab bahawa negeri itu ialah Samudera dan rajanya ialah Merah Silau atau nama islamnya, Malikul Saleh.
Pada keesokan harinya, Syeikh Ismail pun turun ke darat lalu pergi menemui Sultan Malikul Saleh. Syeikh Ismail meminta Sultan Malikul Saleh mengucap dua kalimah syahadah. Lalu mengucaplah Sultan Malikul Saleh tanpa sebarang kesalahan. Pada keesokan harinya pula, Syeikh Ismail bersama fakir Muhammad datang kembali menemui Sultan Malikul Saleh dengan membawa al-Quran tiga puluh juzuk. Sultan Malikul Saleh membaca al-Quran itu dengan betul tanpa perlu diajar. Syeikh Ismail dan fakir Muhammad akhirnya bersyukur kerana telah menemui orang yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Syeikh Ismail kemudiannya meminta Sultan Malikul Saleh untuk menghimpunkan segala hulubalang dan seluruh rakyat yang terdiri daripada semua peringkat umur dan jantina. Setelah dihimpunkan, mereka diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Syeikh Ismail. Mereka mengucapkannya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Oleh sebab itu, negeri Samudera disebut juga sebagai Negeri Darulsalam. Hal ini kerana, setelah memeluk Islam, negeri itu berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera.
Setelah Sultan Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad dirajakan oleh Sultan Malikul Saleh itu sendiri di Pasai. Sultan Ahmad ini ialah seorang pemerintah yang zalim. Dia sanggup membunuh anaknya sendiri. Kezalimannya juga diketahui oleh kerajaan Majapahit.
Sultan Ahmad Perumudal Perumal ini sangat menyukai perempuan dan akan mengahwini mana-mana sahaja perempuan yang baginda inginkan. Oleh sebab itu, baginda mempunyai anak seramai 30 orang. Lima orang anaknya ialah seibu dan sebapa, iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Anaknya Tun Beraim Bapa itu merupakan seorang pahlawan yang sangat kuat dan tidak ada bandingnya pada zaman tersebut. Manakala, Tun Abdul Jalil merupakan seorang lelaki yang sangat kacak rupa parasnya. Tun Abul Fadil pula seorang anak yang kuat agama dan bijaksana dalam soal keagamaan. Dua orang anak perempuannya Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara sangat cantik dan tidak ada tandingannya pada zaman itu.
Kezaliman Sultan Ahmad dapat dilihat apabila baginda berahikan kedua-dua anak kandungnya sendiri dan memberitahu para pembesarnya bahawa dia ingin mengahwini dua puteri kandungnya tersebut. Setelah Tun Beraim Bapa mendengar berita tersebut, segera baginda melarikan kedua-dua adiknya ke Tukas. Apabila Sultan Ahmad mengetahui akan hal tersebut, baginda sangat marah. Sultan Ahmad bertambah marah apabila mengetahui puteranya bergurau senda dengan seorang dayang yang cantik bernama Fatimah Lampau. Oleh sebab itu, baginda kemudiannya merancang untuk membunuh anaknya Tun Beraim Bapa. Pelbagai cara yang dibuatnya untuk membunuh Tun Beraim Bapa, namun semuanya gagal kerana keperkasaan Tun Beraim Bapa.
Raja Ahmad kemudiannya menghantarkan makanan beracun kepada Tun Beraim Bapa. Tun Beraim bapa memberikan makanan tersebut kepada anjing lalu anjing itu pun mati. Baginda memberikan pula kepada ayam, ayam tersebut juga mati. Oleh sebab Tun Beraim Bapa tidak mahu menderhaka, maka dia juga turut memakan makanan itu. Lalu gatal-gatal seluruh tubuhnya. Adik-adik perempuannya juga meninggal dunia kerana memakan makanan itu. Akhirnya, Tun Beraim Bapa mati dan dikuburkan di Bukit Fudul Allah.
Kezaliman Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak berhenti setakat itu sahaja. Baginda kemudiannya membunuh puteranya Tun Abdul Jalil. Baginda membunuh anak-anaknya hanya kerana puteri Majapahit jatuh cinta dengan anaknya. Puteri itu bernama Tuan Puteri Gemerencang. Puteri Gemerencang jatuh hati setelah melihat gambar Tun Abdul Jalil yang sangat kacak. Oleh sebab itu, Tuan Puteri Gemerencang pun pergi belayar ke negeri Pasai. Apabila Sultan Ahmad mengetahui Tuan Puteri Gemercangan ingin datang ke Pasai kerana mahu berkahwin dengan Tun Abdul Jalil, maka Sultan Ahmad sangat cemburu lalu membunuh puteranya itu. Apabila Tuan Puteri Gemercangan mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil, dia pun berdoa agar dimatikan oleh Allah. Lalu, kapalnya tenggelam dalam laut Jambu Air, tempat mayat Tun Abdul Jalil dibuang. Angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan pulang kembali ke benua Jawa. Apabila mendengar berita kematian Tuan Puteri Gemercangan, Sultan Ahmad berasa sangat menyesal.
Setelah angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan sampai ke benua Jawa, mereka memberitahu akan hal yang berlaku. Oleh sebab itu, maka Sang Nata sebagai raja Majapahit mengambil keputusan untuk menyerang Pasai. Oleh sebab panglima perang Pasai yang handal, iaitu Tun Beraim Bapa sudah tiada, maka Pasai pun kalah. Akhirnya, Sultan Ahmad melarikan diri ke Menduga dengan penuh sesalan. Akhirnya, negeri Pasai berjaya ditawan oleh Majapahit.
Melalui peristiwa-peristiwa di atas, jelas menunjukkan bahawa kezaliman seseorang raja boleh menyebabkan runtuhnya sesebuah negara.



Wednesday, October 5, 2011

Penulis India Di Malaysia : Uthaya Sankar

Pembabitan sasterawan kaum India dalam sastera kebangsaan bermula sebelum negara memperoleh kemerdekaan. Tokoh India yang telah mempelopori bidang sastera ialah Nagalingam yang berasal dari Parit Buntar, Perak. Karya pertama beliau ialah sebuah cerpen berjudul “Cerita Orang Yang Tiada Menerima Syukur”. Nagalingam merupakan perintis mengembangkan karya kreatif dalam kalangan sasterawan kaum India. Kemudian, perkembangan cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India terbantut akibat Perang Dunia Kedua serta pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun kekosongan ini hanya bersifat sementara.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, muncul penulis kaum India yang lebih komited dalam penulisan kreatif seperti Joseph Selvam, N. S Maniam, A. Nagappan, P. Palaniappan, Ignatius Dev serta G. Soosai. Dr Krishanan Maniam dalam bukunya Cerpen Tamil dan Melayu: Perbandingan Tema dan Struktur menjelaskan bahawa kumpulan penulis ini telah menulis pelbagai karya menarik seperti cerpen, sajak, puisi, esei serta cerita klasik dalam Bahasa Malaysia. Di samping menghasilkan karya kreatif dalam Bahasa Malaysia, mereka turut menterjemah beberapa sajak, cerpen dan cerita klasik dari Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia dan sebaliknya.

UTHAYA SANKAR SB
Uthaya Sankar SB merupakan penulis India yang tidak asing dalam dunia sastera di Malaysia. Sasterawan Malaysia ini juga pernah menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Negeri kelahirannya sering menjadi latar dalam karyanya. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, kemudian Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
Beliau gemar menghasilkan cerpen, novel dan artikel menggunakan bahasa Melayu. Terdapat juga penulisan yang dihasilkan oleh Uthaya Sankar telah diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Inggeris. Beliau gemar menulis menggunakan bahasa Melayu kerana beliau sangat fasih berbahasa Melayu berbanding dengan bahasa Tamil itu sendiri. Hal ini demikian kerana, beliau telah dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Melayu sejak dari kecil lagi.
Uthaya Sankar berpengalaman luas sebagai pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), HELP Institute, Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT), The One Academy, Yamaha Academy of Arts & Music, Kolej Prime USJ, Kolej Antarabangsa MSC, Kolej Antarabangsa Summit, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej Optima. Selain itu, beliau juga merupakan penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia), penyampai berita TV (Bahasa Malaysia), pengulas segmen Akhbar Hari Ini dan Penyelia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta penyunting berita di Bernama Radio24.
Beliau turut menubuhkan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Beliau berpengalaman luas sebagai pengacara majlis, penceramah, moderator, fasilitator, pemudah cara, penterjemah dan pembimbing.
ANUGERAH YANG DICAPAI
Karya Uthaya Sankar SB pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003).

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada 24 Ogos 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. Antara penulisan Uthaya Sankar yang membawa perpaduan ialah Orang Dimensi, Siru Kambam, Yang Aneh-aneh, Nayagi, Sasterawan Pulau Cinta, Rudra Avatara dan Kathakali.

PERJUANGAN UTHAYA SANKAR SB

Uthaya Sankar juga merupakan presiden Kavyan. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 22 Ogos 1999 oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India. Kavyan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni, dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Kavyan ialah Apresiasi Sastera Kanak-kanak di sekolah rendah, Apresiasi Sastera Remaja di sekolah menengah dan kolej, Bengkel Cerpen Kavyan untuk membimbing penulis muda, Bengkel Cereka UPSR untuk memupuk bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak, Diskusi Sastera Kavyan untuk membincangkan karya secara ilmiah serta Kunjungan Sastera Kavyan ke estet dan kawasan luar bandar. Aktiviti yang dijalankan ini terbuka kepada semua bangsa Malaysia tanpa mengira kaum.

Melalui karya beliau, kita dapat lihat perkara utama yang diperjuangkannya ialah perpaduan. Dalam karyanya, beliau sering menyentuh berkenaan kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Hal ini bertujuan supaya pembaca dapat mengetahui dan menerima budaya dan amalan mereka.

karya Uthaya Sankar juga selalu menyentuh kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Beliau telah selitkan gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua.karya Uthaya Sankar juga selalu menyentuh kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Beliau telah selitkan gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua.

Selain perpaduan, Uthaya Sankar SB adalah Pejuang Bahasa Malaysia.  Kini terdapat ramai penulis India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis atau sasterawan ini mempunyai bakat penulisan dan menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum dalam Bahasa Malaysia bermutu. Maka penulis pelbagai kaum, sastera dan bahasa mula seiring memupuk semangat dan jiwa “Bangsa Malaysia” dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bangsa Malaysia, bahasa Malaysia” yang diperjuangkan oleh Uthaya Sankar dengan harapan ingin mewujudkan satu persefahaman, tolak ansur, saling menghormati dan memahami antara kaum, agama, etnik, keturunan, kepercayaan dan sebagainya. Uthaya Sankar juga meminta supaya semua pihak tidak meninggalkan kebudayaan asal masing-masing. Uthaya Sankar juga mahu wujud perpaduan sejati antara kaum di Malaysia melalui karya sastera. Contohnya, menurut beliau, masalah perkauman dapat dilihat di sekolah-sekolah apabila pelajar lebih senang bergaul sesama mereka sendiri.

Pantun Melayu

Pantun merupakan puisi Melayu yang paling popular. Penggunaannya juga meluas sejak dahulu hingga kini. Pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, mahupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akal budi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.
Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adat. Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, yakni dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.
Pantun merupakan sastera lisan yang lahir dan berkembang dalam kalangan masyarakat yang akrab dengan alam, dan diwarisi dari generasi ke genarasi . Apabila muncul teknologi percetakan pada akhir abad ke-19, koleksi pantun telah diterbitkan dalam pelbagai dialek Melayu, seperti Betawi, Minangkabau, Peranakan Jakarta dan Melaka, dan bahasa-bahasa seperti Ambon dan Acheh. Kini terdapat kira-kira seratus buah manuskrip pantun yang dikumpulkan di perpustakaan seperti di Jakarta, Leiden, Paris, London, dan Berlin. Kebanyakan pantun tersebut dikutip pada akhir abad ke-19 dan dimuatkan dalam pelbagai koleksi oleh sarjana dari England, Belanda, dan Jerman.
Salah satu ciri pantun ialah berbentuk terikat. Pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan. Setiap rangkap terbina daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan seperti 2, 4, 6, sehingga 16 baris. Rangkap pantun yang paling umum ialah yang mempunyai 4 baris serangkap. Setiap pantun mempunyai pembayang dan maksud. Pantun juga mempunyai rima hujung yang tetap iaitu a-b, a-b. Pantun ini terbahagi kepada 11 tema iaitu pantun budi, pantun adat, pantun agama, pantun jenaka, pantun teka teki, pantun nasihat, pantun percintaan, pantun kias, pantun kepahlawanan, pantun peribahasa, dan pantun kembara.
Pantun mempunyai pelbagai fungsi. Pada masa kini, pantun masih digunakan dalam majlis pertunangan. Dalam masyarakat Melayu, pantun digunakan dalam  aktiviti masyarakat sperti dalam kegiatan seni, keagamaan, dan adat istiadat. Selain itu, pantun juga dianggap sebagai lalat komunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat seperti sanjungan, pemujaan dan ucapan selamat kepada seseorang dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi. Pantun juga berfungsi sebagai alat hiburan dan bahan jenaka serta senda gurau. Apa yang paling penting, pantun berfungsi sebagai alat pendidikan sama ada secara menyindir, kiasan atau berterus terang. Di samping itu, pantun digunakan untuk menguji ketajaman akal dan kehalusan perasaan seperti pantun teka teki, pantun peribahasa, dan pantun yang terdapat dalam puisi adat atau teromba. Seterusnya, pantun juga berfungsi untuk mendapatkan gambaran masyarakat terutama sebagai gambaran minda dan pemikiran masyarakat Melayu, pandangan hidup, harapan, cita-cita, daya estetik dan perspektif keseluruhannya. Oleh itu, banyak sarjana berpendapat bahawa untuk mengenali bangsa Melayu, kenalilah pantun mereka.
Pantun dikatakan sebagai karya agung kerana terdapat nilai estetika yang tinggi dalam pantun ini. Nilai ini dapat dilihat melalui penggunaan gaya bahasa, dan ciri-cirinya. Pantun juga tidak ada dalam masyarakat lain melainkan masyarakat Melayu sahaja. Hal ini jelas menunjukkan sifat orang Melayu yang kreatif dan penuh kesenian.Dapat disebutkan bahawa pantun ialah genre yang tersebar luas dan hampir sarwajagat. Di Alam Melayu, bentuk ini hidup subur dalam sekitar 30 bahasa dan dalam 35 dialek Melayu. Orang-orang Melayu diaspora pula telah membawanya hingga ke Sri Lanka, Kepulauan Cocos, Surinam, dan Belanda. Kehadiran pantun di Eropah dan Amerika telah menarik perhatian penyair-penyair hingga menyebabkan timbulnya genre pantoum dalam kesusasteraan Barat mulai abad ke-19. Kini pantun telah berjaya menambat imaginasi dan kesarjanaan pengkaji di dalam dan di luar bidang sastera, di Alam Melayu dan juga di luarnya. Pantun terus diajar dan diselidiki di pusat-pusat Pengajian Melayu. Seminar dan bengkel tentangnya juga terus diadakan.
Buku himpunan syahdu pantun Melayu oleh Datin Asima ini merakamkan pantuk yang sarat dengan unsur-unsur kreativiti, nasihat, dan ilmu pengetahuan yang menyerlahkan kehalusan budi dan ketajaman fikiran penulisnya. Dalam himpunan ini, penulis menggabungkan pantun-pantun dalam rangkaian ilmu berbentuk pantun agama, pantun nasihat, pantun kasih, pantun sayang, pantun peribahasa, pantun berdagang, pantun budi, pantun kiasan, pantun meminang, pantun majlis perkahwinan, patun rumpun Melayu, pantun am dan pantun-pantun 2 kerat, 6 kerat dan 8 kerat. Penulis juga menggunakan nama-nama yang indah di Malaysia, Kepulauan Riau dan Tanah Minang untuk melengkapkan ayat-ayat istimewa umpamanya Pulau Penyengat, Pulau Karimun dan lain-lain lagi. Penulis juga menyelitkan nama-nama kerajaan yang masyhur seperti Majapahit, Mataram, Sambas dan Sailendra sebagai bahan ilmiah untuk anak-anak muda. Selain daripada itu, nilai estetika dalam pantun Melayu turut dikekalkan dengan penggunaan flora dan fauna dalam pembayang pantun-pantun beliau.
Dalam pantun rumpun Melayu, terdapat pantun Patani, pantun Banjar dan pantun Minangkabau. Kesemua pantun yang dihasilkan oleh Datin Asima ini menggunakan bahasa Patani, bahasa Banjar serta bahasa Minangkabau. Hal ini menunjukkan bahawa Datin Asima mempunyai kebolehan untuk menguasai bahasa-bahasa lain juga. Misalnya, dalam pantun Patani, beliau telah menggunakan bahasa Patani bagi semua rangkap pantun . Contoh pantun Patani ialah:
Makan ubi jaman Jepong,
Makan kerpok cicah cuka,
Bulan posa mu bengong,
Masa raya mu gila.

Persoalan ingin yang dibangkitkan dalam pantun ini adalah tentang kesusahan dan penderitaan yang dilalui oleh masyarakat dahulu sewaktu penjajahan Jepun apabila mereka hanya memakan ubi dan keropok bercicahkan cuka. Keadaan ini juga memperlihatkan kedaifan yang perlu diharungi oleh mereka terutamanya dalam soal makanan. Tekanan yang dihadapi telah membuatkan perjalanan hidup mereka terjejas serta mengalami masalah mental terutamanya apabila menjelang bulan puasa dan raya.

Ulasan Abdullah Munsyi

Nama sebenar Abdullah Munsyi ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan di Kampung Pali, Melaka pada tahun 1796 dan meninggal di Jeddah pada tahun 1854. Abdullah Munsyi merupakan seorang yang berketurunan Arab dan India. Namun demikian, beliau mengganggap dirinya sebagai orang Melayu. Gelaran Munsyi diberikan kepadanya oleh Sir Stamford Raffles yang bermaksud guru. Abdullah mula bekerja dengan bapanya iaitu menyalin dokumen-dokumen penting. Kemudian, beliau mengajar bahasa ibunda kepada askar-askar India dan British. Selain itu, beliau juga bekerja sebagai pentafsir dan jurutulis kepada Sir Stamford Raffles. Sepanjang hayat beliau, beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarawan, penterjemah, dan sebagainya. Selain itu, beliau juga  dapat menguasai banyak bahasa. Selain Arab dan Melayu, beliau juga boleh bercakap bahasa Hindi, Tamil, Kantonis dan Inggeris.
Abdullah Munsyi sangat terkenal dengan hasil penulisan riwayat hidupnya yang bertajuk Hikayat Abdullah. Selain itu, karyanya juga ialah Kisah Pelayaran Abdullah, Syair Abdullah Terbakar, Da’wail Kulub, Syair Kampung Gelam Terbakar, Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah dan lain-lain lagi. Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah walau bagaimanapun tidak sempat disiapkan kerana beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Abdullah ialah penulis melayu yang pertama yang telah melakukan sesuatu yang menyimpang daripada adat resam dan kesusasteraan Melayu dalam bahasa surat. Dalam karyanya juga, Abdullah banyak mengkritik orang Melayu. Dialah yang memulakan zaman moden dalam masyarakat Melayu. Karya-karyanya lebih menjurus kepada kehidupan realistik dan berbeza daripada karya-karya sebelumnya. Contohnya karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang banyak mengandungi unsur-unsur magis dan mitos yang tidak masuk akal. Oleh itu, beliau dianggap sebagai pemula kepada kesusasteraan Melayu moden.
Beliau mengkritik kepercayaan-kepercayaan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain itu, beliau juga mengkritik tentang sistem kerajaan feudal Melayu yang menurut pandangannya sebagai zalim. Hal ini demikian kerana, pemikiran Abdullah Munsyi dipengaruhi oleh orang barat yang lebih moden. Beliau juga mengkritik cara hidup orang Melayu. Sebagai contoh, dia mengkritik makanan orang Melayu kotor dan orang Melayu juga mempunyai pemikiran kolot. Hal ini kerana Abdullah Munsyi bukanlah orang Melayu asli dan beliau ingin menyedarkan orang Melayu supaya meninggalkan segala kepercayaan yang tidak benar itu dan lebih bersikap terbuka.
Di samping itu, Abdullah Munsyi juga mengkritik sistem perundangan timur yang zalim dan mengutamakan golongan bangsawan, menyindir golongan pemerintah tempatan, dan mengkritik sikap isteri-isteri pembesar Melayu yang sombong. Abdullah Munsyi juga mendakwa bahawa orang-orang Melayu tidak mempunyai pendirian  dalam hal politik dan kebudayaan. Oleh itu, beliau menyarankan orang Melayu mencontohi orang Inggeris untuk mencapai kemerdekaan. Mengikut Abdullah Munsyi, kemunduran orang-orang Melayu bukanlah disebabkan malas tetapi keranas sikap raja dan golongan bangsawan yang selalu memeras mereka. Di Kelantan, diceritakan rakyat seolah-olah berfungsi untuk memberi khidmat kepada raja dan kerabatnya sahaja. Di Terengganu pula, Abdullah Munsyi mengkritik sistem perhambaan yang diamalkan di sana. Dia juga mengkritik adat dan pantang larang yang yang dikenakan kepada rakyat. Sindirnya, tidak pernah ada larangan menghisap madat, memakai pakaian kotor, membiarkan anak-anak yang tidak berpelajaran dan membiarkan jalan dan lorong penuh sampah, kotor, semak dan sebagainya.
Dari segi gaya bahasa penulisannya, Abdullah Munsyi sudah meninggalkan ungkapan-ungkapan yang usang dan  bahasa berirama yang sering digunakan dalam karya sastera lama. Sebagai ganti, beliau telah menggunakna ungkapan yang spontan dan agak terpengaruh dengan bahasa pertuturan sehari-hari. Susunan ayatnya juga tidak berbelit-belit.
Tulisan Abdullah Munsyi juga berdasarkan kepada peristiwa yang benar-benar berlaku. Begitu juga dengan watak yang dilukiskan dalam karya beliau. Beliau menggunakan watak manusia yang betul-betul hidup, bukan watak dewa-dewi, jin dan mambang. Watak dalam karya beliau lebih kepada orang Melayu di pasar, orang Inggeris, India dan sebagainya. Nama-nama tempat yang digunakan juga betul-betul wujud contohnya Kelantan, Terengganu, Pahang, Singapura dan sebagainya. Melalui unsur kritikan dalam karyanya, Abdullah Munsyi telah berjaya mengangkat sastera Melayu kepada satu tingkat iaitu daripada feudal kepada moden.

Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin

Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang. Nama sebenar Tun Sri Lanang ialah Tun Muhammad. Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau ialah pembesar istana berketurunan bendahara-bendahara kerajaan Melayu Melaka dan Johor Lama. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja antara tahun 1580 dan 1615. Menurut Windstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang  mulai bulan Februari 1614 dan siap pada tahun 1615. Beliau ialah anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad, Temenggung Johor dan ibunya, Tun Ganggang. Beliau juga merupakan cucu kepada Bendahara Sri Maharaja Tun Mutahir iaitu bendahara kerajaan Melayu Melaka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah dan cicit kepada Tun Kudu iaitu bekas permaisuri Sultan Muzaffar Syah. Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Beliau juga menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan Portugis dan Acheh. Sebagai contoh, beliau  telah mengatur perjanjian dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
Sulalatus Salatin telah ditulis oleh Tun Sri Lanang atas arahan Yang Dipertuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma’ayah Shah. Tun Sri Lanang kemudiannya menulis karya yang diberi nama Sulalatus Salatin iaitu Pertuturan Raja-raja. Sulalatus Salatin menceritakan jurai keturunan raja-raja Melayu yang bermula daripada penaklukan Iskandar Zulkarnain hingga ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah. Dalam Sulalatus Salatin banyak menceritakan kezaliman raja, cara hidup masyarakat dahulu kala yang menganggap raja sebagai berkuasa mutlak. Di samping itu, terselit juga kisah-kisah rakyat yang boleh dijadikan panduan kepada semua. Contohnya kisah Hang tuah, Singapura dilanggar todak, kisah Badang memperoleh gagah dan sebagainya. Terdapat banyak nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada kisah-kisah ini.
Antara unsur karya agung yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah nilai estetika yang tinggi. Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, puisi-puisi lama turut diselitkan untuk menggambarkan sesuatu cerita dan peristiwa. Penyisipan unsur-unsur dapat mengindahkan bahasa supaya kelihatan lebih seni dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik.
Seterusnya ialah unsur kesejagatan. Tindakan-tindakan  seseorang watak dianggap sebagai kemanusiaan sejagat. Dalam Sulalatus Salatin, unsur sejagat dapat dilihat menerusi peristiwa Waad antara  Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini adalah untuk kepentingan semua pihak iaitu pihak raja dan pihak rakyat. Raja tidak boleh menganiaya rakyat manakala rakyat pula tidak boleh derhaka kepada raja. Hal ini akan membawa kepada keamanan seluruh rakyat dan negeri.
Unsur keadilan pula dapat dilihat menerusi kezaliman yang dilakukan oleh raja-raja Melayu. Terdapat banyak contoh kezaliman yang dilakukan oleh watak-watak tertentu sehingga menimbulkan kesan sampingan yang lain. Contoh pertama dapat dilihat pada kezaliman Sultan Mahmud yang bertindak membunuh beberapa orang watak walaupun kesalahan yang dilakukak itu tidak seberapa. Contohnya, Sultan Mahmud menitahkan agar Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Sultan Mahmud juga bertindak zalim atas keluarga Tun Mutahir dengan membunuh keluarga itu. Kejatuhan Melaka berlaku pada zamannya. Hal ini kerana Sultan Mahmud apabila dia membunuh keluarga Tun Mutahir, kekuatan Melaka menjadi lumpuh. Walaupun rakyat tidak dapat melawan kezaliman raja, tetapi keadilan telah terjadi dengan sendirinya yang berpunca daripada sikap buasnya sendiri.

Sunday, October 2, 2011

SENI SILAT MELAYU

Seni silat Melayu ialah sejenis ilmu mempertahankan diri bangsa Melayu yang diamalkan sejak dahulu kala. Penemuan tinggalan sejarah di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa membuktikan seni silat mula wujud di Kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Seni silat ini bermula di Kepulauan Riau dan kemudiannya berkembang ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni ini dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh Kerajaan Srivijaya, iaitu pada abad ke-7 hingga abad ke-14 bagi tujuan meluaskan empayarnya. Mereka yang mempelajari ilmu silat dipanggil pesilat.
Seni ini dikatakan mencapai kemuncaknya apabila terdapatnya penggunaan senjata. Antara senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat ialah keris, badik, kerambit, parang, pedang, parang lading, tumbuk lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan bertumpu kepada pertempuran tangan kosong.
Dari Minangkabau, ilmu silat berkembang ke Melaka. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan golongan istana sahaja yang diberi keistimewaan untuk mempelajari silat. Seni silat ini berkembang pula melalui rakyat jelata  dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Sebagai contohnya, Laksamana Hang Tuah dikatakan mempelajari ilmu silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa, Majapahit.
Pada zaman dahulu, hampir semua orang mengamalkan silat tetapi hanya yang benar-benar hebat yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi sahaja yang mampu mencapai tahap tersebut.
Antara beberapa kepentingan silat ialah:
1.     Mendekatkan diri kepada Allah Yang Esa.
2.     Dapat mempertahankan diri daripada ancaman bahaya.
3.     Mengajar taat  kepada ibu bapa yang melahirkan kita ke dunia.
4.     Menghargai hubungan sesama manusia dan belajar mengenai kehidupan sebenar Islam
5.     Membantu untuk lebih mendisiplinkan diri dan lebih menghargai diri.
6.     Menyihatkan tubuh badan yang secara tak langsung lebih mengaktifkan kebijaksanaan otak dan anggota badan.
7.     Membentuk keyakinan yang tinggi.

ASPEK DAN BENTUK SILAT
Aspek ataupun bentuk silat dapat dilihat dalam empat aspek utama. Pertama ialah aspek spiritual, iaitu berkenaan keperibadian seseorang pesilat. Silat dikatakan dapat membangunkan dan mengembangkan keperibadian dan karakter mulia seseorang pesilat. Para pendekar dan guru silat pada zaman dahulu hendaklah mencapai tahap semadi, tapa atau aspek kebatinan untuk mencapai tingkat tertinggi dalam keilmuannya.
Selain itu, terdapat juga aspek seni budaya. Budaya ini merangkumi bentuk seni tarian silat, muzik dan pakaian tradisional. Muzik merupakan satu misteri dalam silat. Biasanya, seni silat akan menggunakan serunai dan gendang. Alat muzik ini boleh menyebabkan seseorang pesilat ‘naik serbu’ apabila ia dimainkan. Kemahuan dalaman akan memaksa mereka untuk membuka sembah bagi memulakan pencaknya. Pakaian tradisional silat pula amat penting di dalam gelanggang kerana ia melambangkan identiti pesilat. Setiap pakaian mempunyai tali pinggang atau dipanggil bengkung pinggang. Bengkung ini terdiri daripada pelbagai warna seperti merah, hitam, kuning, putih, hijau dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan tahap ilmu yang dicapai oleh seseorang pesilat.
Seterusnya ialah aspek bela diri. Silat dipelajari untuk mempertahankan diri, bukan untuk menyerang atau menakut-nakutkan orang tertentu. Dalam hal ini, kepercayaan dan ketekunan diri sangat penting dalam menguasai ilmu bela diri.
Aspek yang terakhir ialah aspek olahraga, iaitu aspek fizikal. Pesilat akan menyesuaikan pemikiran dengan olah tubuh. Aspek ini meliputi pertandingan dan demonstrasi bentuk-bentuk jurus. Aspek olahraga inilah yang membuatkan silat terkenal di Eropah.
TINGKAT KEMAHIRAN
Tingkat  pertama dipanggil tingkat pemula. Pada tahap ini, pesilat akan  diajar perkara asas seperti teknik kuda-kuda, tendangan, pukulan, tangkisan, elakan, tangkapan, bantingan, olah tubuh dan jurus dasar.
Tingkat kedua pula ialah tingkat menengah. Pada tahap ini, pesilat lebih difokuskan kepada aplikasi  semua gerakan dasar, pemahaman, dan variasi. Di sini juga minat dan bakat pesilat mula terlihat. Seterusnya, pesilat ini akan disalurkan kepada cabang masing-masing iaitu cabang olahraga dan seni budaya.
Tahap yang ketiga dikenali sebagai tahap pelatih. Berdasarkan pengalaman di tahap pemula dan menengah,  mereka kemudiannya akan diberikan teknik-teknik bela diri perguruan. Teknik ini hanya diberikan kepada orang yang boelh dipercayai dan menggunakan ilmu ini dengan baik. Hal ini demikian kerana, teknik bela diri ini biasanya melibatkan teknik tempur yang sangat efektif untuk melemahkan lawan.
Tahap yang tertinggi dikenali sebagai pendekar. Pendekar merupakan pesilat yang sudah mahir dan mempunyai ilmu persilatan uang tinggi. Mereka juga bakal mewarisi ilmu-ilmu rahsia tingkat tertinggi.
JENIS-JENIS SILAT
Asas seni silat dapat dibahagikan kepada dua iaitu ‘bunga’ dan ‘buah’. Seni bunga ialah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula ialah gerak balas yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Pada zaman ini, wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri.
Silat Gayong
Antara jenis silat yang popular ialah Silat Gayong. Seni Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Seni Silat Gayong diajar berdasarkan nama silat itu sendiri iaitu Silat Gayong. Secara amnya, seseorang pesilat akan diajar pergerakan tangan  dan kaki secara sistematik. Peringkat ini dikenali sebagai  pelajaran bersilat.  Peringkat kedua pula ialah peringkat seni. Peringkat seni ialah peringkat pengenalan kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan membuat serangan balas ke atas sasaran.
Latihan seni silat Gayong biasanya dilakukan di tempat yang tidak berbumbung dan hanya dipagari oleh dinding yang tinggi. Hal ini bertujuan untuk menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki gelanggang. Latihan Seni Silat Gayong dimulakan dengan upacara membuka gelanggang iaitu dengan membaca ayay-ayat suci al-Qur’an dan diikuti dengan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T meminta agar dijauhkan segala mara bahaya semasa latihan sedang dijalankan.  Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan asas, pesilat akan berpasangan untuk mengelakkan serangan mengejut daripada pihak lawan yang mungkin terus bertindak agresif.  Biasanya terdapat beberapa orang pembantu jurulatih yang hadir untuk mengawal pasangan yang bergelut dan membetulkan mana-mana gerakan yang silap.
Ahli-ahli baru akan diberi latihan untuk menguatkan fizikal. Latihan ini dilakukan selama sebulan bagi melonggarkan otot-otot dan tendon. Kemudian, mereka berlatih  untuk memperbaiki teknik menumbuk dan menangkis. Pesilat juga didedahkan kepada kawasan-kawasan berbahaya pada tubuh.
Kesemua gerakan yang dipelajari adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran membuat serangan balas. Walaupun pesilat dimahirkan dengan teknik menyerang menggunakan tangan dan kaki, tetapi ia hanyalah untuk membiasakan pelatih  untuk bertindak balas  ke atas serangan yang berasaskan teknik tersebut. Serangan yang dibuat tanpa menggunakan teknik yang betul amat mudah dipatahkan. Sebaliknya, serangan yang terkawal dari segi sasaran, imbangan badan, dan penumpuan tenaga akan memberikan kesan yang kelas dan tepat.
Kemahiran yang perlu diperolehi oleh pesilat dalam latihan silatnya ialah :
1.     Gerakan membuka tapak dan serangan kaki dan tangan
2.     Gerakan serang balas jenis tangkapan-buah tapak kunci mati
3.     Gerakan serang balas ke atas kuncian-buah tapak kunci hidup
4.     Gerakan serang balas jenis pukulan-serangan harimau
5.     Gerakan jatuh pulih-senaman anak harimau
6.     Gerakan serangan bersenjata dan serang balas ke atas serangan bersenjata.

Latihan Seni Silat Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang dan pesilat dikehendaki
membaca ayat-ayat suci al-Qur’an sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang.

Silat Cekak
Silat yang popular seterusnya ialah silat cekak. Silat cekak berasal dari Kedah. Seni silat ini juga pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Terdapat beberapa definisi silat cekak. Cekak bermaksud ringkas. Keringkasan silat cekak ini dapat dilihat melalui sistem pelajaran yang sangat mudah dan cepat diperoleh.
Senjata yang digunakan dalam silat cekak ialah parang lading. Senjata ini digunakan sejak zaman dahulu lagi. Parang lading merupakan satu-satunya senjata yang digunakan dalam silat cekak. Dalam silat ini juga, tiada penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa-apa sahaja. Parang lading tidak digunakan untuk menyerang tetapi untuk menunggu serangan dari segala jenis bentuk serangan kecuali senjata api.
Antara pantang larang yang terdapat dalam silat cekak ialah:
1.     Tidak boleh derhaka kepada guru
2.     Tidak boleh derhaka kepada ibu
3.     Tidak boleh derhaka kepada bapa
4.     Tidak boleh bergaduh sesama ahli
5.     Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli
Silat Tongkat
Silat yang seterusnya ialah silat tongkat. Silat tongkat berasal dari India dan telah dibawa masuk ke Kelantan oleh seorang rakyat India yang datang sebagai peniaga air teh kandar. Seni tari silat tongkat diberi nama kerana silat ini telah memasukkan dua elemen tarian dan elemen silat. Kedua-dua elelen ini telah digabungkan menjadi satu. Salah satu fungsi seni silat ini ialah untuk meninggalkan kesan kesenian yang indah kepada masyarakat.
Dari segi pengajarannya, seni silat ini terdiri daripada tiga peringkat pembelajaran iaitu peringkat Bunga Silat, Pecahan dan Buah Silat. Peringkat pertama iaitu peringkat bunga silat mempunyai tujuh jenis bunga silat. Bunga silat juga merupakan elemen yang akan digunakan semasa sesuatu persembahan diadakan contohnya seperti  majlis perkahwinan.
Peringkat kedua ialah peringkat pecahan. Peringkat ini memepunyai 110 jenis pecahan yang diajarkan selepas pesilat melepasi peringkat pertama. Pada peringkat ini, pesilat akan diajar tentang cara-cara untuk mempertahankan dan melepaskan diri daripada pihak lawan.
Peringkat yang terakhir ialah peringkat buah silat. Dalam seni tari silat tongkat, terdapat lebih 50 jenis buah silat akan diajar kepada pelajar. Buah silat ini penting kerana ia tidak boleh dipertontonkan kepada orang ramai. Buah silat ini disorokkan daripada pandangan ramai atas dasar memelihara seni permainan. Buah silat ini juga diajar oleh guru pada malam terakhir sebelum Majlis Perlimau.
MAJLIS PERLIMAU
Majlis Perlimau merupakan satu majlis penutup atau penamat bagi sesuatu pembelajaran seni silat. Dalam majlis ini, sambutan daripada pelbagai pihak dapat dilihat. Sebelum Majlis Perlimau diadakan, pelajar perlu melepasi kesemua peringkat yang perlu dipelajari. Keunikan majlis ini dapat dilihat apabila pesilat diberi tanggungjawab untuk menghias gelanggang silat. Contohnya membina pintu gerbang yang diperbuat daripada daun kelapa, membersihkan sekitar khemah dan menghias meja pulut semangat.
Pada pagi majlis, pesilat diwajibkan membawa seekor ayam kampung jantan yang disembeleh di dalam gelanggang. Selepas selesai persembahan, para pesilat akan mandi bunga iaitu tujuh jenis bunga sebagai tanda untuk menyelamatkan ilmu yang dipelajari daripada sebarang musibah. Akhir sekali, acara sembah guru pula akan diadakan, iaitu di rumah guru pada waktu malam. Dalam acara ini, pesilat hendaklah membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Mereka akan memohon maaf dan meminta izin ilmu.