Pages

Showing posts with label Book Review. Show all posts
Showing posts with label Book Review. Show all posts

Sunday, October 21, 2012

Sinopsis Novel Di Bawah Hujan Peluru

Aku ada baca satu novel. Novel nie sangat menarik, mengisahkan peperangan pada zaman Jepun dan berfokus di negeri Johor. Kisah ni betul-betul berlaku kepada penulis. Jadi bila aku baca, patut la. Rasa macam kita alami sendiri peristiwa tu, Rasa berdebar-debar, takut, cemas, semua ada. Hebatnya pengolahannya sehingga aku sayang untuk meninggalkan novel tu dan mahu terus membacanya. 

Novel Di Bawah Hujan Peluru karya Shaharom Husain ini mengisahkan tentang peperangan yang berlaku pada zaman penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu. Cerita ini berdasarkan pada peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa bala tentera Jepun menyerang Tanah Melayu pada akhir tahun 1941. Tidak sampai dua bulan mereka berjaya menewaskan kekuatan tentera British. Apa yang menarik tentang novel ini ialah, kandungan novel ini didasarkan kepada peristiwa yang benar-benar dialami, dilihat, dan didengar oleh penulis. Terutamanya peperangan yang berlaku di kawasan-kawasan dalam negeri Johor. Malapetaka dan peristiwa kejam bersejarah yang menyayat hati itu, penulis kumpulkan dan dijadikan novel.

Novel ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang bernama Rasiman yang mempunyai kekasih hati yang berada di bandar bernama Rasimah. Pada zaman peperangan tersebut, tempat tinggal di bandar sudah tidak selamat lagi untuk didiami. Hal ini kerana Jepun dan British berperang di bandar. Walaupun Jepun mahu melindungi orang Melayu, tetapi sekiranya mereka berperang, penduduk yang berada di bandar akan tetap terkena tembakan, bom dan sebagainya. Hal ini kerana bandar adalah tempat untuk berperang antara tentera Jepun dan tentera British. Langkah untuk menyelamatkan diri ialah berpindah ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman.

Rasiman berusaha keras mahu menyelamatkan keluarga Rasimah dari bencana peperangan dan memujuk ayah Rasimah untuk berpindah ke kampungnya. Malang sekali kerana ayah Rasimah berkeras tidak mahu berpindah kerana menyangka rumahnya di bandar sudah selamat. Rasiman beberapa kali pergi ke rumah Rasimah bagi memujuk ayahnya, tetapi semuanya hampa. Rasiman berat hati mahu meninggalkan kekasihnya dan selalu bimbangkan keselamatan Rasimah. Dalam masa berusaha untuk memujuk ayah Rasimah berpindah, Rasiman terpaksa mengharungi pelbagai rintangan. Antara bandar dan kampung dipisahkan oleh Sungai Batu Pahat. Di sungai itulah Rasiman terpaksa mengelakkan diri daripada tembakan dan bom pihak penjajah. Tetapi demi Rasimah, itu semua tidak dihiraukannya.

Dalam novel ini juga menceritakan mengenai kezaliman penjajah Jepun terhadap kaum bukan Melayu. Tentera Jepun sangat zalim dan suka menyeksa orang awam dengan seksaan yang cukup berat. Rakyat berpendapat bahawa lebih baik sekiranya mereka ditembak terus daripada diseksa oleh tentera Jepun. Selain itu, tentera Jepun juga digambarkan menyukai perempuan Melayu. Mereka akan memasuki rumah-rumah penduduk dan merogol gadis-gadis. Oleh itu, anak gadis terpaksa disembunyikan di tempat yang selamat.

Setelah mengalami pahit getir peperangan, Rasiman berusaha keras dan berjaya dalam hidup dia. Pada mulanya, setelah Jepun pulang ke negara mereka, Rasiman mendapat pekerjaan iaitu menjadi kerani di salah sebuah syarikat motokar di Singapura. Dia juga bekerja sambilan dengan menjadi wakil insuran. Kemudian Rasiman berjaya membeli sebuah motokar, mengirim duit kepada ibu bapanya dan menyewa sebuah bilik di sebuah rumah pangsa.

Dalam usaha Rasiman mengejar kejayaan, dia juga berusaha mencari Rasimah yang terpisah setelah rumah Rasimah terkena bom. Walau bagaimanapun, pencariannya tidak berjaya. Sudah takdir, Rasiman dan Rasimah terpisah terus. Rasiman pula masih tidak berkahwin kerana tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan Rasimah dalam hatinya.

Nak tahu lebih lanjut betapa kejamnya askar Jepun, sila baca sendiri. okay..

Comel-comel sokmo :-)

Wednesday, October 5, 2011

Ulasan Kitab Bible

Beriman dengan kitab-kitab dahulu adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam dan hal ini menjadi rukun Islam yang ke-3. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh beriman dengan kitab Bible yang ada sekarang kerana telah banyak ayat yang dipesongkan. Kitab Bible ini didasarkan daripada pengalaman dan kesaksian manusia yang pelbagai dan tidak langsung. Orang Kristian tidak mempunyai bukti yang kukuh dari seorang saksi yang hidup pada zaman nabi Isa. Oleh itu, banyak yang ditimbulkan soal kebenaran daripada kitab ini. Perlu diketahui juga The Bible tidaklah selengkap al-Quran yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk berkaitan dengan perkara-perkara kecil.
Rasional yang perlu kita gunakan untuk membaca The Bible ialah kita perlu tahu bahawa ayat tersebut juga datangnya daripada Allah menerusi wahyu dan masih ada sebilangan ayat yang belum dipesongkan dan boleh diterima. Kita tidak boleh menolak bulat-bulat apa yang terkandung dalam The Bible tersebut, tetapi perlulah tahu membezakan antara yang benar dengan yang salah.
The Bible ialah kitab suci bagi penganut Kristian. Dengan membaca The Bible, akan memudahkan manusia mempelajari nilai-nilai hidup dan keimanan yang akan mempengaruhi pembentukan peribadi mereka. Hal ini demikian kerana nilai-nilai tersebut akan meresap dan bertahan seumur hidup dalam diri manusia.The Bible juga mampu untuk memberi pengajaran kepada umat manusia dengan cara meriwayatkan tindakan nabi Isa yang mengatakan bahawa tugasnya di muka bumi sudah selesai. Ajaran-ajaran di dalam Bible turut dijadikan panduan kepada penganutnya agar menjadi insan yang baik.
Semua agama di dunia menganjurkan kebaikan. Oleh itu, The Bible perlu dibaca bagi mendidik manusia ke arah kebaikan. Di dalamnya terdapat aturan-aturan yang perlu dipatuhi oleh manusia. Sekiranya tidak dipatuhi akan membawa keburukan kepada manusia itu sendiri. Beberapa perkara juga perlu dijauhi kerana boleh menyebabkan keruntuhan akhlak. Melalui pembacaan The Bible juga, kita akan mendapat banyak pengetahuan. Buku ini banyak mengisahkan tentang cerita manusia-manusia sejak awal kehidupan sehingga akhir nanti. Dalam cerita tersebut secara tidak langsung disebut juga peraturan-peraturan yang perlu dijadikan sempadan agar segala perlakuan kita dijaga dengan baik. Sekiranya tidak dijaga dengan baik pasti akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan yang kita lakukan.

PERJANJIAN DAN DOKUMEN LAMA MELAYU

Perjanjian dan dokumen lama Malaysia (1791-1965) merupakan sebuah buku yang memaparkan perjanjian dan dokumen lama berhubung dengan negeri-negeri Melayu, iaitu peristiwa yang berlaku sebelum merdeka, semasa merdeka dan selepas kemerdekaan negara dicapai. Buku ini mengandungi 26 dokumen atau perjanjian lama yang diambil berdasarkan perkara yang dianggap penting dan diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Antara dokumen dan perjanjian yang dimuatkan dalam buku ini adalah Persetiaan dengan Sultan Kedah pada tahun 1791, Persetiaan dengan Naning (1801), Perjanjian Sir Stamford Raffles (1819), Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824), Ordinan Peraturan Darurat (1948), Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (1957), Pemasyhuran Kemerdekaan (1957), Perjanjian Berhubung dengan Malaysia (1963), Pemasyhuran Malaysia (1963), Akta Perlembagaan dan Malaysia (pindaan Singapura) pada tahun 1965 serta banyak lagi. Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa buku ini tertumpu kepada peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan sehingglah peristiwa menuntut kemerdekaan seterusnya peristiwa penubuhan Malaysia.
Buku ini mengandungi sejarah lengkap mengenai sejarah Malaysia dan harus dibaca oleh semua rakyat agar dapat diambil iktibar daripadanya. Buku ini juga boleh dianggap sebagai bukti penting yang menunjukkan peristiwa yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Pelbagai pengajaran dapat diambil daripadanya agar sejarah lama tidak berulang lagi. Sebagai contoh, perjanjian persetiaan Inggeris dengan Sultan Kedah pada tahun 1791 jelas menunjukkan keuntungan kepada pihak penjajah sendiri. Dalam perjanjian ini, Kedah bersetuju menerima elaun tahunan sebanyak sebanyak 6000 dolar Sepanyol selagi Inggeris menduduki Pulau Pinang. Kedua, Kedah bersetuju mengakui kependudukan Inggeris di Pulau Pinang. Ketiga, pihak British dibenarkan membeli makanan dari Kedah tanpa dikenakan sebarang sekatan atau cukai. Bangsa-bangsa Eropah yang lain pula tidak dibenarkan menetap di Kedah. Seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju mengembalikan hamba abdi, orang yang berhutang, pembunuh dan penipu. Akhir sekali, Pulau Pinang bersetuju tidak akan melindungi penjenayah dari Kedah. Hal ini jelas menunujkkan Sultan pada masa itu sangat mudah untuk diperalatkan oleh pihak penjajah, hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Lebih daripada itu, perjanjian ini tidak membawa sebarang faedah kepada kerajaan Kedah.
Pada tahun 1801, satu perjanjian telah ditandatangani antara residen British di Melak dengan Dato’ Penghulu Dol Said. Mereka dengan sesungguhnya telah bersetia dan menerima fasal-fasal seperti penghulu, menteri-menteri dan pembesar Naning akan setia dan patuh kepada Gabemor dan Komandan  dan tidak akan melakukan perkara yang bertindak memusuhi gabenor. Kedua, penghulu, pembesar-pembesar dan penduduk- penduduk Naning dikehendaki menyerahkan 1/10 daripada hasil beras dan buah-buahan kepada Syarikat Hindia Timur tetapi memandangkan keadaan mereka yang miskin, Penghulu hendaklah datang sendiri menemui Gabenor di Melaka pada tiap-tiap tahun sebagai tanda takluk ataupun menghantar salah seorang pembesarnya dan sebagai tanda setia hendaklah menyerahkan kepada Syarikat 1 1/2 koyan padi (400 gantang) dari hasil tanaman yang pertama.
Ketiga, Penghulu dan pembesar-pembesar berjanji untuk menghantar dengan segera kepada Syarikat semua bijih yang dibawa dari Sri Menanti, Sungai Ujong, Rembau dan lain-lain tempat dan mereka akan menerima sejumlah 44 Rix Dollar tunai bagi tiap-tiap satu bahara.
Penghulu, pembesar-pembesar dan orang-orang Naning juga tidak berhak menjalankan perniagaan dengan sebarang pihak berkuasa di pendalaman tetapi hendaklah membawa barangan mereka terus ke Melaka, dan tidak boleh menjalankan sebarang rundingan dengan sebarang pihak berkuasa di pendalaman walaupun harta dan nyawa mereka terancam.
Terakhir, Penghulu, pembesar-pembesar hendaklah mengemukakan pengganti pemerintah kepada Gabenor sekiranya ia bersara dari kerajaan ataupun ditimpa kemalangan tetapi Gabenor berhak menolak dan menetapkan sendiri bakal pemerintah itu mengikut pertimbangan sendiri. Melalui perjanjian ini juga, jelas menunjukkan kepentingan kepada pihak penjajah.
Melalui perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani, kita dapat melihat bagaimana penjajah menggunakan perjanjian itu untuk tujuan campur tangan. Pertama, pihak penjajah mberikan jaminan keselamatan politik. Kedua, menghulurkan bantuan dalam bentuk ketenteraan dan pentadbiran. Ketiga, mereka menggunakan cara tipu muslihat  untuk damaikan kekacauan atau alasan politik. Inggeris juga memperlatkan sultan membuat perakuan terhadap tuntutan terhadap takhtanya. Penjajah juga menggunakan taktik pujukan dalam bentuk kewangan dan elaun sara hidup bulanan dan pampasan. Selain itu, Ugutan menarik balik bantuan jika tuntutan tidak dipenuhi sultan atau pembesar turut digunakan. Sebagai contoh,   Inggeris tidak akan membantu Sultan Kedah dalam tuntutan kebebasan pemerintahan daripada Siam jika Kedah tidak mengundurkan tenteranya daripada menyerang Perak. Penjajah juga mengadakan fasal menyekat pemerintah tempatan membuat perjanjian dengan lain-lain kuasa kecuali Inggeris. Hal ini menghalang kuasa lain kuasai Tanah Malayu serta mewujudkan hubungan diplomasi dan persahabatan dengan Tanah Melayu.
Terdapat banyak sebab mengapa perjanjian ini ditandatangani. Salah satu sebabnya ialah keinginan mendapatkan bantuan dan mempertahankan hak sebagai sultan. Di sini jelas menunjukkan sikap sultan sendiri yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, Sultan Abdullah memohon bantuan Inggeris untuk membantunya menaiki takhta Perak selepas kematian Sultan Ali. Perjanjian  juga ditandatangani untuk menamatkan peperangan. Contohnya dapat dilihat dalam perjanjian Burney dan Low bagi mengatasi serangan Siam terhadap Kedah dan Perak. Di samping itu, perjanjian ditandatangani untuk mengadakan hubungan diplomasi, perluasan dan pengukuhan ekonomi asing, jaminan keselamatan dan penguasaan wilayah serta pengiktirafan kedudukan kepada pembesar dan sultan.
Melalui ulasan di atas, ciri karya agung yang terdapat dalam buku ini ialah kezaliman, iaitu kezaliman dan penindasan yang berlaku kepada masyarakat Melayu lama. Ciri keadilan pula dapat dilihat apabila berlaku ketidakadilan dalam perjanjian tersebut apabila raja Melayu kehilangan kuasa dan hanya menjadi raja boneka semata-mata.
Kini memandang kepada operasi ketenteraan Angkatan Tentera Darat Jepun dan memandang kepada pentadbiran British dan akibatnya, maka kesan penindasan British terhadap orang Tanah Melayu adalah amat jelas dan tentera British, semasa menjalankan operasinya dan juga semasa berundur dari medan perang, telah merampas serta menjarah-rayah segala khazanah, harta benda, bekalan dan sumber daripada  rakyat jelata dan tidak teragak-agak memusnahkannya dan mereka sanggup mendatangkan keperitan dan kesengsaraan yang amat sangat kepada rakyat jelata dengan membakar rumah mereka.

Huckleberry Finn

Huckleberry Finn menceritakan tentang Finn, seorang budak yang dipaksa menjadi hamba. Pada mulanya, Finn terseksa zahir dan batin daripada ayahnya seorang pemabuk yang sering mengejar harta Finn. Finn juga mengalami tekanan daripada mak ciknya yang mengongkong hidupnya dengan adat dan agama. Oleh itu, Finn telah merancang pembunuhan palsu dirinya sendiri demi menyelamatkan diri daripada ayahnya. Finn kemudiannya bertemu dengan seorang budak kulit hitam yang turut melarikan diri bagi mendapatkan kebebasan. Mereka mengembara menyusuri Sungai Mississippi dengan menaiki rakit. Mereka menempuh pelbagai rintangan termasuk perompak, pembunuh, penipu dan banyak lagi. Jim dan Finn bertembung dengan pelbagai jenis manusia di sungai itu.
Rasionalnya kita membaca karya ini adalah bagi mengetahui bahawa memang terdapat amalan perhambaan dalam kalangan masyarakat eropah terutamanya golongan bangsawan. Pada zaman dahulu, amalan ini tidak hanya berlaku di eropah tetapi juga di negara-negara lain di dunia ini.

Karya ini memaparkan tentang nilai persahabatan antara Finn dengan Jim. Mereka melarikan diri dan sama-sama mengembara mencari kebebasan. Selain itu, rasionalnya kita membaca karya ini adalah supaya kita mempunyai sikap ingin tahu dalam diri kita dan persoalan itu mestilah dicari jawapannya. Jawapan ini boleh dicari melalui pengalaman. Hal ini jelas ditunjukkan oleh Finn yang mencari pengalaman menerusi pengembaraan bersama-sama kawannya.

Di samping itu, terdapat juga nilai persahabatan dalam karya ini. Hal ini jelas ditunjukkan oleh Finn dan Jim. Mereka bersama-sama mengembara dan saling bergantung antara satu sama lain. Sebagai pengajaran daripada nilai ini, kita dapat melihat bahawa seorang sahabat yang baik adalah mereka yang sentiasa berada di samping kita saat susah atau senang. Kita hendaklah belajar menghargainya walaupun kehadirannya cuma sebagai seorang pendengar yang setia dan menawarkan bantuan kepada kita.

Selain itu, rasionalnya kita membaca karya agung ini agar kita lebih berpengalaman iaitu lebih berhati-hati dengan orang yang berada di sekeliling kita. Kita tidak boleh mudah mempercayai orang lain, terutamanya orang yang tidak dikenali. Sebagai contoh, semasa mengembara, Finn dan Jim bertemu dengan King dan Duke yang menyamar sebagai bangsawan. Tetapi kemudian Finn dan Jim diperlakukan seperti hamba oleh King dan Duke tersebut.

Menerusi karya ini, penulis menjelaskan persoalan tentang pengkhianatan, persahabatan, kejahatan dan nilai baik hati. Karya ini selalu menyoal apa yang benar dan apa yang salah iaitu dari segi adat resam dan agama. Sebagai contohnya, Finn bukanlah seorang budak yang baik. Hal ini demikian kerana dia sering menipu dan mencuri untuk keperluan dirinya. Tetapi, hatinya tetap baik terutamanya dia mempunyai rasa sayang kepada sahabatnya, Jim. Dia menolak segala pegangan yang telah diajarkan sejak dari kecil dan dia menerima sekiranya dia berdosa dan akan mendapat balasan.

Founding Document

Founding Document merupakan buku yang membincangkan hal-hal pentadbiran negara termasuklah dokumen-dokumen perjanjian, iaitu dokumen pembentukan Amerika Syarikat. Menurut Bill Bannet, Founding Document mengandungi tiga bahagian iaitu A Declaration By The Representatives, Emancipation dan The Federal Papers. Dokumen ini menekankan aspek kebebasan, perlembagaan, perjanjian dan sebagainya.
Dokumen ini turut berkisar tentang perjuangan rakyat Amerika Syarikat iaitu pengorbanan dan penderitaan mereka dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan. Dengan membaca buku ini, akan menyebabkan kita lebih menghargai dan menyayangi tanah air. Oleh itu, rasionalnya kita membaca Founding Document ialah dapat menghayati sejarah dan proses pembentukan negara dan cara undang-undang dijalankan. Betapa sukarnya perjalanan untuk pemimpin dan rakyat lalui bagi mencapai kemerdekaan.
Kita juga dapat melihat kepakaran dan sifat kepimpinan yang ada pada tokoh Amerika Syarikat dalam mengatur strategi dalam mencapai kemerdekaan. Kita juga perlu mencontohi keperibadian mereka. Hal ini penting agar kita dapat menjadi seorang pemimpin atau rakyat yang bijak menhatur strategi, bertanggungjawab, dan berani.

Founding Document juga menunjukkan bahawa perpaduan akan membawa kemaslahatan kepada masyarakat. Hal ini terbukti apabila rakyat Amerika bersatu padu dan bekerjasama dalam menyingkirkan penjajah dari tanah air agar mereka dapat membina negara bangsa mengikut acuan sendiri. Sekiranya tidak ada perpaduan dan kerjasama dalam kalangan rakyat, adalah sukar untuk pemimpin menjalankan pentadbiran kerana akan berlaku kekacauan dan masalah tidak puas hati dalam kalangan anggota masyarakat.

Mac Beth

Secara ringkasnya, Mac Beth pada mulanya dilantik menjadi panglima oleh Raja Duncan. Hal ini demikian kerana Mac Beth telah berjaya mengalahkan pengkhianat. Selepas itu, Mac Beth dan kawannya Banquo bertemu dengan tiga orang ahli sihir yang jahat. Ahli sihir tersebut mengatakan bahawa Mac Beth akan menjadi raja satu hari nanti, manakala Banquo pula akan melahirkan anak-anak yang akan menjadi raja. Oleh kerana sikap rakus dan tamak Mac Beth, dia merancang untuk membunuh Raja Duncan bagi mendapatkan takhta pemerintahan. Rancangannya itu diketahui oleh isterinya, Lady Mac Beth dan isterinya menyokongnya melakukan rancangan itu. Pada mulanya, Mac Beth keberatan untuk menjalankan rancangannya. Kemudian, Raja Duncan mati dibunuh oleh Lady Mac Beth sendiri.

Setelah menjadi raja, Mac Beth hidup dalam ketakutan. Dia bimbang sekiranya rakannya, Banquo membuka rahsia tentang tiga orang tukang sihir dan perbuatannya selama ini diketahui orang lain. Mac Beth berasa takut dan pergi semula menemui tiga orang tukang sihir tersebut. Tukang-tukang sihir itu berkata bahawa Mac Beth tidak perlu takut kerana dia tidak akan mati dan tidak akan dibunuh oleh seorang yang dilahirkan daripada seorang wanita. Mac Beth berasa yakin dengan kata-kata tukang sihir tersebut. Walau bagaimanapun, Lady Mac Beth tidak yakin, Akhirnya, Lady Mac Beth menjadi gila kerana sering melihat darah Raja Duncan di tangannya sendiri walaupun dicuci berkali-kali.

Karya ini memaparkan persoalan tentang ketamakan pada pangkat dan darjat. Apa yang sepatutnya dilakukan Mac Beth ialah berterima kasih kepada Raja Duncan kerana penghargaan yang telah diberikan. Tetapi, kerana ketamakan beliau sanggup merancang untuk membunuh orang yang telah banyak membuat jasa kepadanya dan hal ini akhirnya membawa keburukan kepada diri mereka sendiri. Selain itu, William Shakespears juga menjelaskan tentang sikap terburu-buru yang membawa padah. Kita hendaklah berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, iaitu menimbang sama ada perkara itu baik atau buruk.

Dalam karya ini, William Shakespears menggunakan darah sebagai simbol perasaan bersalah daripada Mac Beth dan Lady Mac Beth. Lady Mac Beth hidup dengan berasa bersalah walaupun mendapat apa yang diinginkannya. Selain itu, terdapat juga simbol burung gagak yang mewakili bencana dalam cerita tersebut.