Psikolinguistik ialah satu disiplin yang melihat perhubungan antara linguistik dengan psikologi (2005:20). Psikolinguistik juga boleh dikatakan sebagai cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan jiwa manusia. Psikolinguistik juga didefinisikan secara meluas sebagai pengajian antara bahasa dan minda. Oleh hal yang demikian, minda seseorang amat mempengaruhi seseorang itu berbahasa.
Menurut Robert Lado, psikolinguistik ialah pendekatan gabungan psikologi dan linguistik bagi telaah pengetahuan bahasa, bahasa dalam pemakaian, perubahan bahasa dan hal-hal yang tidak mudah dicapai melalui salah satu daripada kedua-dua ilmu tersebut secara terpisah atau tersendiri.
Menurut Emmon Bach pula, psikolinguistik ialah ilmu yang meneliti kaedah sebenar para pemakai sesuatu bahasa membentuk atau menaakul kalimat-kalimat bahasa tersebut.(2010:1)
Faktor yang penting dalam penguasaan bahasa adalah faktor neurologi iaitu kaitan antara otak manusia dengan bahasa. Manusia memiliki otak yang beratnya 1500 gram. Otak memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal sistem-sistem tubuh yang lain. Pusat yang mengawal aktiviti-aktiviti bagi tubuh seseorang bertempat di otak. Pusat-pusat bertaraf tinggi juga terletak di otak, contohnya intelek, fikiran, kemahuan, pendengaran, penglihatan, perasaan, dan bau. Apabila sel-sel otak menerima sesuatu utusan, sel-sel tersebut akan menyimpan makna utusan itu. Pengalaman yang bertambah akan menyebabkan penyimpanan meningkat dan menjadi asas ingatan. Otak boleh dibahagikan kepada 3 bahagian utama.
Otak pertama iaitu disebut juga sebagai serebelum. Serebelum ini terletak di bahagian bawah atau belakang kepala. Serebelum merupakan otak yang kecil yang menjadi pusat kepada koordinasi otot dan keseimbangan badan. Selain itu, serebelum juga berfungsi untuk mengawal proses pernafasan, penghadaman dan metabolisme badan.
Otak kedua atau sistem limbik terdiri daripada hypothalamus dan hippocampus. Bahagian ini memainkan peranan utama untuk mengawal emosi, deria bau, deria rasa dan tingkah laku seksual. Otak pada bahagian ini juga mengawal tindakan logikal untuk merangsang keinginan-keinginan seperti rasa lapar, dahaga dan tindakan pertahankan diri apabila menghadapi situasi yang mencemaskan seperti bahaya, ketakutan dan ketegangan emosi. Bahagian inilah yang banyak mengawal tahap kepintaran emosi (EQ).
Otak yang seterusnya ialah neocortex atau dikenali juga sebagai sereberum. Sereberum merupakan pusat pemikiran dan kesedaran seseorang. Di sinilah terletaknya pusat untuk mengawal kemampuan dan keupayaan menguasai bahasa, pusat perhatian, ingatan, fikiran dan kemahiran motor.
Selain itu, otak kiri berfungsi untuk mengawal aktiviti-aktiviti logikal dan akademik. Ia juga mengawal sensasi di bahagian kanan tubuh. Manakala, otak kanan pula penting untuk menguasai perkara-perkara yang berkaitan dengan imaginasi dan kreativiti seperti muzik, imaginasi pengenalan objek dan sebagainya. Ia juga mengawal sensasi di bahagian kiri tubuh.
Afasia
Bahasa ialah alat perhubungan manusia untuk berkomunikasi. Bahasa juga yang membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain. Namun demikian, apabila bahasa itu tidak dapat lagi berfungsi dengan baik, maka keadaan ini dipanggil afasia.
Afasia ialah gabungan dua patah perkataan iaitu ‘a’ yang bermaksud tidak dan ‘fasia’ yang bermaksud bicara (2010:34). Oleh itu, boleh dikatakan bahawa afasia ialah ketidakmampuan seseorang untuk membicarakan sesuatu dengan tepat. Seseorang itu juga tidak mampu untuk menggunakan bahasa dengan sempurna. Tanda-tanda pengidap afasia ialah kesukaran berkomunikasi secara pertuturan, sukar memahami percakapan orang lain, dan sukar untuk membaca dan menulis.
Punca Afasia
Banyak punca yang boleh menyebabkan penyakit afasia. Antaranya, afasia disebabkan oleh angin ahmar (strok), kecederaan di kepala, gangguan sistem saraf (neorological disorder) seperti ketumbuhan otak, penyakit nyanyuk (Alzheimer), penyakit Picks dan Parkinson. Kerosakan pada otak juga akan berlaku apabila aliran darah pada otak tidak cukup, atau berlaku penyempitan pada pembuluh darah atau gangguan lain yang menyebabkan amaun oksigen yang diperlukan berkurangan.
Jenis-jenis Afasia
Salah satu jenis afasia ialah afasia Broca iaitu afasia yang terjadi pada daerah broca. Kerosakan ini umumnya disebut lesion. Daerah ini terletak berdekatan dengan jalur korteks motor. Daerah ini bertugas untuk menyelaraskan pertuturan. Oleh hal yang demikian, apabila kerosakan ini berlaku, alat-alat sebutan akan terganggu. Contohnya mulut menjadi herot. Afasia Broca ini juga akan menyebabkan gangguan pada perancangan dan pengungkapan sebutan. Ayat-ayat yang diujarkan akan menjadi terpatah-patah dan tidak jelas. Perkataan-perkataan seperti kata nama, kata kerja, dan kata sifat tidak akan terganggu tetapi pesakit akan mengalami kesukaran untuk menggunakan kata tugas. Ayat-ayat yang digunakan juga tidak menggunakan infeksi atau imbuhan.
Seterusnya ialah Afasia Wernicke. Afasia jenis ini berlaku pada medan Wernicke iaitu bahagian yang agak ke belakang cuping temporal. Bahagian ini berhampiran dengan bahagian otak yang menerima rangsangan pendengaran dan daerah Broca yang berhampiran dengan bahagian otot yang mengawal pertuturan. Apabila daerah Wernicke ini rosak, korteks-korteks yang berhampiran juga mungkin terkena. Pesakit afasia jenis ini lancar dalam berbahasa dan bentuk sintaksisnya juga cukup baik. Walau bagaimanapun, ayat-ayatnya sukar difahami kerana banyak perkataan yang tidak tepat maknanya. Perkara ini berlaku kerana pesakit afasia ini keliru dalam memilih perkataan. Contohnya perkataan ‘fair’ menjadi ‘chair’. Pesakit Afasia Wernicke juga mengalami gangguan dalam kefahaman lisan. Mereka sukar untuk memahami apa yang kita katakan.
Afasia Anomik ialah kerosakan yang terjadi pada bahagian depan dari cuping parietal atau pada sempadan antara cuping parietal dengan cuping temporal. Gangguan berbahasa pesakit afasia jenis ini dilihat melalui ketidakmampuan pesakit mengaitkan konsep bunyi atau perkataan yang mewakilinya. Afasia Anomik membabitkan masalah untuk mencari perkataan ketika pertuturan secara spontan. Contohnya, apabila pesakit itu kita minta untuk diambilkan buku, mereka mungkin boleh melakukannya. Tetapi, sekiranya kita menunjukkan buku, mereka tidak akan dapat menyebut nama benda itu.
Afasia Global pula tidak berlaku pada satu atau dua daerah sahaja tetapi berlaku pada banyak medan iaitu medan broca, melalui korteks motor, menuju ke cuping parietal dan sampai ke medan Wernicke. Luka yang merebak ini mengakibatkan gangguan fizikal dan lisan yang sangat ketara. Dari segi fizikal, penderita Afasia Global ini boleh menjadi lumpuh di sebelah kanan, mulut menjadi herot dan lidah menjadi tidak cukup anjal. Dari segi lisan, mereka akan mengalami kesukaran memahami ujaran orang lain. Ujaran mereka pula tidak mudah untuk difahami oleh orang lain dan perkataan yang mereka ucapkan menjadi tidak jelas.
Afasia yang terakhir ialah Afasia Konduksi. Kerosakan yang berlaku adalah pada fiber-fiber yang ada pada fasikulus arkuat yang menghubungkan cuping frontal dengan cuping temporal. Pesakit afasia jenis ini tidak akan dapat mengulang perkataan yang baru sahaja diberikan kepadanya. Hal ini kerana, hubungan medan broca di cuping frontal yang menangani penghasilan dengan medan Wernicke di cuping temporal telah terputus. Walau bagaimanapun, mereka dapat memahami ujaran orang lain dengan baik.
Bentuk-bentuk Afasia
Bentuk-bentuk afasia boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok berdasarkan bentuk permasalahan pertuturan yang wujud. Terdapat empat bentuk afasia iaitu fasia sementara, afasia tidak fasih, afasia fasih dan afasia sejagat. Afasia sementara dikenali juga sebagai afasia peralihan.
Afasia sementara merujuk kepada masalah komunikasi yang berlaku hanya sementara, iaitu beberapa jam atau beberapa hari. Pesakit afasia sementara akan pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari sahaja.
Afasia tidak fasih pula dapat dikenal pasti melalui ciri-ciri seperti pertuturan yang sukar, teragak-agak, berbentuk telegram dan disertai tempoh senyap yang panjang. Pesakit afasia tidak fasih ini banyak menggunakan nama benda dan kata kerja. Pertuturan mereka lambat dan susunan ayat pula tergantung. Pesakit afasia ini juga biasanya lumpuh atau lemah pada bahagian kaki atau tangan kanan. Walau bagaimanapun, pesakit afasia tidak fasih boleh memahami pertuturan orang lain dengan baik.(2010:44)
Seterusnya ialah afasia fasih. Pesakit afasia fasih mampu bertutur dengan baik tanpa tersekat-sekat. Mereka juga tidak menghadapi lumpuh atau lemah bahagian kanan tubuh. Namun demikian, pesakit afasia fasih ini menghadapi masalah untuk menggunakan benda yang tepat.
Afasia sejagat pula merujuk kepada mereka yang mengidap afasia teruk iaitu merangkumi semua peringkat yang berkaitan dengan bahasa. Pesakit afasia sejagat mempunyai pertuturan yang terhad dan sukar memahami apa yang didengarnya. Afasia ini ketara bagi mereka yang mengalami angin ahmar yang teruk.
Disleksia
Masalah disleksia adalah berbeza dengan afasia. Hal ini jelas kerana afasia ialah penyakit yang disebabkan oleh kerosakan saraf otak yang akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi. Disleksia juga merupakan antara kekacauan bahasa. Disleksia berasal daripada perkataan Green iaitu ‘dyslexsia’ yang membawa maksud ‘dys’ iaitu sukar dan ‘lexis’ iaitu perkataan.
Disleksia ini terbahagi kepada beberapa jenis. Ada disleksia yang berlaku selepas individu beroleh kemahiran membaca dan menulis. Dalam kalangan kanak-kanak, disleksia dapat diperhatikan di peringkat pemerolehan kemahiran membaca dan menulis. Sebagai contoh, kanak-kanak memulakan pembacaan dan tulisannya dari belakang. Hal ini kerana dominasi hemisfera, kecacatan persepsi visual dan kesan penggunaan kaedah pengajaran yang lemah.
Disleksia bukanlah satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu, disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal. Contohnya, kanak-kanak itu lambat pandai membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk. Mereka juga sering keliru dengan perkataan dan huruf-huruf tertentu contohnya ‘b’ dengan ‘d’. Selain itu, masalah ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan boleh berlarutan sehingga dewasa. Jenis-jenis Disleksia
Salah satu jenis disleksia ialah diprasia. Diprasia melibatkan masalah yang signifikan dari aspek perkembangan motor dan berkaitan dengan masalah bahasa, persepsi dan pemikiran (2010:114). Diprasia juga boleh dikatakan sebagai masalah motor yang melibatkan kecacatan atau ketidakmatangan dalam pengelolaan pergerakan. Kanak-kanak yang mengalami disprasia mengetahui apa yang ingin dilakukan tetapi menghadapi masalah untuk melakukan aktiviti tersebut. Dispresia ini banyak terjadi dalam kalangan kanak-kanak lelaki iaitu 4 kali lebih ramai daripada perempuan. Salah satu punca dispresia ialah faktor genetik, pemakanan ibu semasa mengandung, ketidakseimbangan hormon, kekurangan zat, trauma semasa dilahirkan dan penyakit berjangkit seperti HIV, rubella dan begok.
Jenis disleksia yang kedua pula ialah disgrafia. Disgrafia ialah kesukaran untuk menyatakan apa yang ada dalam pemikiran ke dalam bentuk tulisan atau graf. Disgrafia juga menunjukkan tulisan yang buruk dalam kanak-kanak yang mengalaminya. Salah satu punca disgrafia ialah demam panas dan kelahiran pramatang. Kanak-kanak ini menunjukkan tingkah laku seperti tidak konsisten dalam pembentukan tulisan, penggunaan huruf besar dan kecil yang bercampur, memegang alat tulis terlalu dekat dengan kertas dan menekan pada kertas. Kanak-kanak ini juga membuat kesalahan yang ketara dalam ejaan. Contohnya perkataan ‘tutup’ dieja sebagai ‘tutub’.
Seterusnya ialah hiperleksia. Hiperleksia ialah individu yang mengalami masalah dalam membaca, bahasa dan interaksi sosial. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini dapat mempelajari sistem simbol dan nombor dengan baik tetapi bermasalah dalam interaksi sosial. Salah satu ciri kanak-kanak yang mengalami hiperleksia ialah mempunyai masalah bahasa iaitu tidak faham kebanyakan perkataan. Mereka juga nampak seperti normal tetapi mempunyai masalah dalam menginterpretasi bahasa dan ekspresi apa-apa yang mereka lihat atau dengar.
Jenis disleksia aspek bacaan
Salah satu jenis disleksia bacaan ialah disleksia visual. Disleksia ini merujuk kepada individu yang dapat melihat dengan baik tetapi tidak dapat membuat perbezaan, interpretasi atau mengingat perkataan yang dilihat. Menurut Lenner, disleksia visual ini ialah kepayahan seseorang khususnya dalam melakukan tugasan untuk membezakan abjad, perkataan, serta mengecam angka, nombor, bentuk geometri dan gambar. Salah satu ciri individu yang mengalami kepayahan diskriminasi visual iaitu kekeliruan mengenal perkataan atau huruf yang sama. Contohnya ‘bas’ dengan ‘pas’. Mereka juga mengalami kadar pengamatan yang lambat.
Seterusnya ialah disleksia auditori yang bermaksud keupayaan mengesan atau mengenal pasti apa-apa yang didengar dan menyumbang bahagian yang penting kepada pembelajaran. Kanak-kanak ini juga melihat persamaan antara perkataan dan mengalami masalah dalam menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan fungsi auditori. Mereka juga gagal membezakan bunyi. Salah satu ciri yang dapat dilihat daripada individu yang mengalami disleksia auditori ialah ketidakupayaan untuk membahagikan perkataan kepada suku kata atau bunyi. Mereka mengalami kecelaruan pengamatan dan diskriminasi auditori yang menyebabkan mereka sukar untuk belajar menggunakan kaedah fonetik. Selain itu, individu ini juga mengalami kesukaran untuk memahami bunyi berurutan dan cenderung untuk mengubah urutan huruf semasa menulis. Mereka lebih suka memilih aktiviti yang memerlukan kemahiran visual.
Seterusnya ialah disleksia visual-auditori yang melibatkan kedua-dua sistem yang penting untuk mendapatkan maklumat Tactile iaitu sentuhan dan kinestetik iaitu pergerakan. Hal ini menunjukkan keupayaan melakukan sesuatu dengan menggunakan jari dan deria rasa melalui sentuhan. Antara ciri individu yang mengalami masalah disleksia visual-auditori ialah kesukaran menyusun urutan, mengimbas,lemah dalam penggunaan koordinasi mata dengan tangan. Bagi mereka, apa yang dilihat tidak dapat diaplikasikan kepada tulisan atau gerak kerja yang melibatkan penulisan.
Hipotesis Tempoh Kritikal
Hipotesis tempoh kritikal banyak dibincangkan oleh para sarjana dan masih dipegang oleh ramai sarjana. Namun demikian, ada juga yang menyanggahnya. Krashen (1972) beranggapan bahawa literalisasi itu bermula sekitar 4 hingga 5 tahun.
Ada perbezaan pendapat mengenai peranan hemisfera dalam memperoleh bahasa pertama dan bahasa kedua. Daripada penyelidikan, ada yang menemui bahawa hemisfera kiri lebih banyak terlibat pada orang yang bilingual sejak kecil daripada yang bilingual sejak dewasa.Penyelidikan Vaid pula adalah sebaliknya. Dia mendapati bahawa penutur yang bilingual Perancis-Inggeris yang bermula sejak umur 10 hingga 14 tahun banyak menggunakan hemisfera kiri dibandingkan dengan yang bermula sebelum umur 4 tahun.
Kanak-kanak sebelum berusia 12 tahun sudah mempunyai kemampuan memperoleh bahasa secara asli. Hal ini tampak terutamanya pada aksennya. Gejala ini dinyatakan dalam hipotesis yang dipanggil Hipotesis Tempoh Kritikal yang diperkenalkan oleh Lenneberg (1967). Intipati hipotesis ini mengatakan bahawa antara umur 2 hingga 12 tahun seorang kanak-kanak dapat memperoleh apa-apa sahaja bahasa sebagai kemampuan seorang penutur asli. Sebagai contohnya, sekiranya ada keluarga Malaysia yang yang tinggal di New York dan melahirkan anak. Anak itu kemudiannya bergaul dengan orang-orang di sana, maka anak itu sudah tentu dapat berbahasa Inggeris New York.
Hal ini terjadi kerana sebelum umur 12 tahun, belum terjadi literalisasi pada kanak-kanak. Otak hemisfera kiri dan hemisfera kanan belum dipisahkan untuk diberi fungsi yang berasingan. Kedua-duanya masih anjal dan dapat menerima sebarang fungsi. Sebagai contohnya, orang yang diserang strok pada umur bawah 12 tahun dapat pulih sepenuhnya dalam memperoleh bahasa sedangkan orang dewasa mempunyai peluang yang tipis untuk pulih.
Ketika literalisasi berlaku, otak sudah tidak anjal seperti sebelumnya. Kemampuan berbahasa seperti penutur asli sudah berkurangan. Voice Onset Time (VOT) untuk bunyi bersuara juga tidak boleh tepat lagi. Sebagai contohnya, orang dewasa yang belajar bahasa asing. Berkemungkinan orang itu dapat menguasai tatabahasa asing dengan sempurna, tetapi aksennya tetap akan ketara sebagai aksen asing.