Pages

Wednesday, October 5, 2011

PERJANJIAN DAN DOKUMEN LAMA MELAYU

Perjanjian dan dokumen lama Malaysia (1791-1965) merupakan sebuah buku yang memaparkan perjanjian dan dokumen lama berhubung dengan negeri-negeri Melayu, iaitu peristiwa yang berlaku sebelum merdeka, semasa merdeka dan selepas kemerdekaan negara dicapai. Buku ini mengandungi 26 dokumen atau perjanjian lama yang diambil berdasarkan perkara yang dianggap penting dan diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Antara dokumen dan perjanjian yang dimuatkan dalam buku ini adalah Persetiaan dengan Sultan Kedah pada tahun 1791, Persetiaan dengan Naning (1801), Perjanjian Sir Stamford Raffles (1819), Persetiaan antara Great Britain dengan Johor (1824), Ordinan Peraturan Darurat (1948), Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (1957), Pemasyhuran Kemerdekaan (1957), Perjanjian Berhubung dengan Malaysia (1963), Pemasyhuran Malaysia (1963), Akta Perlembagaan dan Malaysia (pindaan Singapura) pada tahun 1965 serta banyak lagi. Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa buku ini tertumpu kepada peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan sehingglah peristiwa menuntut kemerdekaan seterusnya peristiwa penubuhan Malaysia.
Buku ini mengandungi sejarah lengkap mengenai sejarah Malaysia dan harus dibaca oleh semua rakyat agar dapat diambil iktibar daripadanya. Buku ini juga boleh dianggap sebagai bukti penting yang menunjukkan peristiwa yang berlaku pada zaman penjajahan dahulu. Pelbagai pengajaran dapat diambil daripadanya agar sejarah lama tidak berulang lagi. Sebagai contoh, perjanjian persetiaan Inggeris dengan Sultan Kedah pada tahun 1791 jelas menunjukkan keuntungan kepada pihak penjajah sendiri. Dalam perjanjian ini, Kedah bersetuju menerima elaun tahunan sebanyak sebanyak 6000 dolar Sepanyol selagi Inggeris menduduki Pulau Pinang. Kedua, Kedah bersetuju mengakui kependudukan Inggeris di Pulau Pinang. Ketiga, pihak British dibenarkan membeli makanan dari Kedah tanpa dikenakan sebarang sekatan atau cukai. Bangsa-bangsa Eropah yang lain pula tidak dibenarkan menetap di Kedah. Seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju mengembalikan hamba abdi, orang yang berhutang, pembunuh dan penipu. Akhir sekali, Pulau Pinang bersetuju tidak akan melindungi penjenayah dari Kedah. Hal ini jelas menunujkkan Sultan pada masa itu sangat mudah untuk diperalatkan oleh pihak penjajah, hanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Lebih daripada itu, perjanjian ini tidak membawa sebarang faedah kepada kerajaan Kedah.
Pada tahun 1801, satu perjanjian telah ditandatangani antara residen British di Melak dengan Dato’ Penghulu Dol Said. Mereka dengan sesungguhnya telah bersetia dan menerima fasal-fasal seperti penghulu, menteri-menteri dan pembesar Naning akan setia dan patuh kepada Gabemor dan Komandan  dan tidak akan melakukan perkara yang bertindak memusuhi gabenor. Kedua, penghulu, pembesar-pembesar dan penduduk- penduduk Naning dikehendaki menyerahkan 1/10 daripada hasil beras dan buah-buahan kepada Syarikat Hindia Timur tetapi memandangkan keadaan mereka yang miskin, Penghulu hendaklah datang sendiri menemui Gabenor di Melaka pada tiap-tiap tahun sebagai tanda takluk ataupun menghantar salah seorang pembesarnya dan sebagai tanda setia hendaklah menyerahkan kepada Syarikat 1 1/2 koyan padi (400 gantang) dari hasil tanaman yang pertama.
Ketiga, Penghulu dan pembesar-pembesar berjanji untuk menghantar dengan segera kepada Syarikat semua bijih yang dibawa dari Sri Menanti, Sungai Ujong, Rembau dan lain-lain tempat dan mereka akan menerima sejumlah 44 Rix Dollar tunai bagi tiap-tiap satu bahara.
Penghulu, pembesar-pembesar dan orang-orang Naning juga tidak berhak menjalankan perniagaan dengan sebarang pihak berkuasa di pendalaman tetapi hendaklah membawa barangan mereka terus ke Melaka, dan tidak boleh menjalankan sebarang rundingan dengan sebarang pihak berkuasa di pendalaman walaupun harta dan nyawa mereka terancam.
Terakhir, Penghulu, pembesar-pembesar hendaklah mengemukakan pengganti pemerintah kepada Gabenor sekiranya ia bersara dari kerajaan ataupun ditimpa kemalangan tetapi Gabenor berhak menolak dan menetapkan sendiri bakal pemerintah itu mengikut pertimbangan sendiri. Melalui perjanjian ini juga, jelas menunjukkan kepentingan kepada pihak penjajah.
Melalui perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani, kita dapat melihat bagaimana penjajah menggunakan perjanjian itu untuk tujuan campur tangan. Pertama, pihak penjajah mberikan jaminan keselamatan politik. Kedua, menghulurkan bantuan dalam bentuk ketenteraan dan pentadbiran. Ketiga, mereka menggunakan cara tipu muslihat  untuk damaikan kekacauan atau alasan politik. Inggeris juga memperlatkan sultan membuat perakuan terhadap tuntutan terhadap takhtanya. Penjajah juga menggunakan taktik pujukan dalam bentuk kewangan dan elaun sara hidup bulanan dan pampasan. Selain itu, Ugutan menarik balik bantuan jika tuntutan tidak dipenuhi sultan atau pembesar turut digunakan. Sebagai contoh,   Inggeris tidak akan membantu Sultan Kedah dalam tuntutan kebebasan pemerintahan daripada Siam jika Kedah tidak mengundurkan tenteranya daripada menyerang Perak. Penjajah juga mengadakan fasal menyekat pemerintah tempatan membuat perjanjian dengan lain-lain kuasa kecuali Inggeris. Hal ini menghalang kuasa lain kuasai Tanah Malayu serta mewujudkan hubungan diplomasi dan persahabatan dengan Tanah Melayu.
Terdapat banyak sebab mengapa perjanjian ini ditandatangani. Salah satu sebabnya ialah keinginan mendapatkan bantuan dan mempertahankan hak sebagai sultan. Di sini jelas menunjukkan sikap sultan sendiri yang tamak dan mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, Sultan Abdullah memohon bantuan Inggeris untuk membantunya menaiki takhta Perak selepas kematian Sultan Ali. Perjanjian  juga ditandatangani untuk menamatkan peperangan. Contohnya dapat dilihat dalam perjanjian Burney dan Low bagi mengatasi serangan Siam terhadap Kedah dan Perak. Di samping itu, perjanjian ditandatangani untuk mengadakan hubungan diplomasi, perluasan dan pengukuhan ekonomi asing, jaminan keselamatan dan penguasaan wilayah serta pengiktirafan kedudukan kepada pembesar dan sultan.
Melalui ulasan di atas, ciri karya agung yang terdapat dalam buku ini ialah kezaliman, iaitu kezaliman dan penindasan yang berlaku kepada masyarakat Melayu lama. Ciri keadilan pula dapat dilihat apabila berlaku ketidakadilan dalam perjanjian tersebut apabila raja Melayu kehilangan kuasa dan hanya menjadi raja boneka semata-mata.
Kini memandang kepada operasi ketenteraan Angkatan Tentera Darat Jepun dan memandang kepada pentadbiran British dan akibatnya, maka kesan penindasan British terhadap orang Tanah Melayu adalah amat jelas dan tentera British, semasa menjalankan operasinya dan juga semasa berundur dari medan perang, telah merampas serta menjarah-rayah segala khazanah, harta benda, bekalan dan sumber daripada  rakyat jelata dan tidak teragak-agak memusnahkannya dan mereka sanggup mendatangkan keperitan dan kesengsaraan yang amat sangat kepada rakyat jelata dengan membakar rumah mereka.

No comments: