Pages

Sunday, October 2, 2011

MORFOLOGI

Definisi Morfologi
Menurut Abdullah Hassan, morfologi ialah bidang linguistik yang mengkaji cara perkataan dibina. Kajian ini dilakukan terhadap unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses membentuk perkataan dan bentuk-bentuk yang dihasilkan.
Ramli Md. Salleh  pula menyatakan morfologi merupakan satu bidang ilmu yang  mengkaji tentang kata dan pembentukan kata. Terdapat beberapa perkara utama yang dikaji dalam morfologi. Hal ini termasuklah cara suatu kata dibentuk, proses-proses yang berlaku dalam pembentukan kata dan bentuk-bentuk yang terhasil daripada proses tersebut.
Sementara itu, John T.Jensen pula mendefinisikan morfologi sebagai satu kajian tentang dalaman kata-kata. Kata pula bermaksud sesuatu yang dari segi intuisinya agak jelas, namun konsep ini ternyata amat elusif apabila hendak diberikan definisi yang tepat.
Menurut Crystal,(1980:1) morfologi ialah cabang nahu yang mengkaji struktur dan bentuk kata terutamanya melalui penggunaan konstruksi morfem.
Menurut Kamus Dewan (1994:889) pula, morfologi ialah kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan dan pemajmukan. Fleksi ialah proses penambahan imbuhan pada kata dasar atau akar.
Oleh itu, secara ringkasnya dapatlah dikatakan bahawa morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur kata, binaan kata, bentuk kata dan golongan kata. Dalam binaan kata, terdapat unsur-unsur yang membina sesuatu kata. Unsur-unsur ini dikenali sebagai morfem.
Morfem
Morfem merupakan unsur terkecil yang mengandungi makna atau fungsi tatabahasa.. Morfem ialah unsur yang terkecil yang membentuk kata. Morfem mempunyai fungsi gramatis atau menjalankan tugas nahu. Morfem terbahagi kepada dua iaitu morfem terikat dan morfem bebas.
Morfem bebas ialah morfem yang dapat berdiri sendiri ataupun sesuatu kata. Morfem bebas terdiri daripada kata akar yang belum menerima apa-apa imbuhan. Contohnya perkataan seperti jalan, makan, rumah dan besar. Morfem terikat pula ialah unsur yang memerlukan morfem lain untuk membentuk kata. Morfem terikat ini terdiri daripada imbuhan yang membentuk kata terbitan. Contoh morfem terikat seperti imbuhan -ber, -pe, -an, -dan sebagainya.
Contohnya, perkataan ‘perkahwinan’. Kata ini terdiri daripada tiga morfem iaitu ‘per’, ‘kahwin’ dan ‘an’. ‘Kahwin’ merupakan morfem bebas. Kata ‘kahwin’  ini juga boleh berdiri dengan sendiri manakala ‘per’ dan ‘an’ ialah morfem terikat kerana bentuk ini tidak boleh berdiri dengan sendiri. Di samping itu, bentuk-bentuk ini juga tidak bermakna tetapi setiap bentuk ini mempunyai fungsi tatabahasa apabila digunakan bersama-sama kata dasar.
Bentuk Kata
Berdasarkan proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu, kata terbahagi kepada empat bentuk iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda.
Kata tunggal ialah kata dasar yang tidak mengalami sebarang proses pembentukan kata seperti proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Kata tunggal ialah kata yang sempurna dan boleh berdiri sendiri. Contoh kata tunggal ialah seperti jentera, makan, budaya, bintang dan sebagainya.
Selain daripada itu, kata akronem juga digolongkan dalam kata tunggal. Kata akronem merupakan kata yang terbentuk daripada percantuman atau perangkaian kata. Percantuman tersebut ialah percantuman huruf-huruf awal kata, percantuman huruf dan suku kata sesedap sebutan, percantuman suku kata awal kata dan percantuman bahagian awal kata pertama dengan bahagian lain kata yang menyusulinya. Contoh akronem ialah seperti UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pawagam (panggung wayang gambar) dan banyak lagi.
Kata terbitan pula merupakan kata yang telah melalui proses morfologi iaitu proses pengimbuhan. Imbuhan tersebut terdiri daripada imbuhan kata nama, imbuhan kata kerja dan lain-lain lagi. Contoh kata terbitan ialah seperti berjalan, membaca, membasuh dan sebagainya.
Seterusnya ialah kata majmuk. Kata majmuk ialah kata yang terbentuk dengan cara merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan kata ini membawa makna tertentu. Kata majmuk ini bertindak sebagai satu unit dan dieja secara terpisah. Contoh kata majmuk ialah seperti jam tangan, gambar rajah, kaki lima dan sebagainya. Namun demikian, terdapat juga kata majmuk yang dieja bercantum. Kata majmuk jenis ini merupakan kata majmuk yang telah mantap. Antara kata majmuk tersebut ialah antarabangsa, kerjasama, jawatankuasa, kakitangan, olahraga, pesuruhjaya, tandatangan, sukarela, suruhanjaya, matahari, beritahu, setiausaha, warganegara, tanggungjawab, dan bumiputera.
Bentuk yang seterusnya ialah kata ganda. Kata ganda ialah kata yang terhasil melalui proses mengulang kata dasar. Dalam bahasa Melayu, kata ganda dapat dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak. Penggandaan penuh ialah pengulangan seluruh kata dasar contohnya orang-orang, baju-baju, dan buku-buku. Penggandaan separa pula ialah pengulangan sebahagian kata dasar contohnya tercungap-cungap, bergilir-gilir dan termangu-mangu. Seterusnya ialah penggandaan berentak iaitu kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang. Contohnya dolak-dalik, bengkang-bengkok, dan tunggang-langgang.
Golongan kata
Kata dapat digolongkan kepada beberapa jenis iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Kata nama, kata tugas dan kata adjektif tergolong sebagai kata utama kerana masing-masing menjadi inti utama bagi frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif.
Kata Nama
Kata nama ialah kata yang menyatakan nama bagi orang, benda, binatang, tempat, konsep dan sebagainya. Kata ini menjadi unsur inti dalam binaan frasa nama. Kata nama dapat dibahagikan kepada kata nama khas, kata nama am dan kata ganti nama.
Kata nama khas ialah kata yang merujuk kepada sesuatu benda atau orang. Huruf pertama bagi kata nama khas ini wajib ditulis menggunakan huruf besar. Kata nama khas ini pula terbahagi kepada dua iaitu kata nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup ialah seperti manusia dan bukan manusia. Contohnya nama orang seperti Abu, Wak Pagek, Sultan Abdul Majid dan sebagainya. Kata nama khas tak hidup pula seperti Kuala Lumpur, Malaysia dan Proton Saga.
Kata nama am pula merujuk kepada benda, orang atau sesuatu yang bersifat umum. Kata nama am terbahagi kepada dua iaitu kata nama am hidup dan kata nama am tak hidup. Kata nama am hidup ialah manusia dan bukan manusia contohnya ayah, guru, burung dan kucing. Manakala kata nama am tak hidup pula seperti bangunan, rumah, kampung, senyuman dan sebagainya.
Kata ganti nama ialah kata yang menggantikan kata nama am dan kata nama khas. Kata ganti nama ini terbahagi kepada dua iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama tunjuk ialah seperti itu dan ini. Kata ganti nama diri pula terbahagi kepada dua iaitu kata ganti nama diri tanya dan kata ganti nama diri orang. Kata ganti nama diri tanya seperti apa, siapa, bagaimana dan lain-lain lagi. Kata ganti nama diri orang pula boleh dibahagikan kepada tiga iaitu kata ganti diri orang pertama, kedua dan ketiga. Kata ganti diri orang pertama ialah aku, beta, patik, saya, kami, kita. Kata ganti diri orang kedua pula ialah anda, awak, engkau, kamu, kalian. Seterusnya ialah kata ganti nama diri orang ke tiga iaitu beliau, dia, mereka, dan -nya.
Kata Kerja
Kata kerja ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan atau melakukan sesuatu. Kata kerja terbahagi kepada dua iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.
Kata kerja transitif ialah kata kerja yang perlu diikuti oleh objek. Kata ini tidak boleh berdiri sendiri dan memerlukan penyambut atau objek sebagai pelengkap. Contoh kata kerja transitif ialah seperti menunggang kuda, membonceng motosikal, dan  memakan nasi.
Kata kerja tak transitif pula ialah kata kerja yang sempurna maknanya dan dapat berdiri sendiri tanpa memerlukan objek selepasnya. Oleh sebab itu, kata kerja tak transitif ini tidak boleh dipasifkan. Contoh kata kerja tak transitif ialah berenang, menangis, mendarat dan menari.
Kata Adjektif
Kata adjektif pula merupakan kata yang digunakan untuk menerangkan sifat kata nama. Kata sifat dapat digolongkan kepada beberapa jenis iaitu bau, bentuk, bunyi, pandang, sentuh, rasa, tabiat dan ukuran. Contoh kata adjektif ialah cantik, kuat, wangi, indah, bulat, panjang, kasar dan banyak.
Kata tugas
Seterusnya ialah kata tugas. Kata tugas ialah kata yang mempunyai tugas-tugas tertentu dalam pembinaan sesuatu frasa, klausa dan ayat. Kata ini tidak berfungsi sebagai unsur inti dalam predikat baik predikat frasa nama, frasa kerja dan frasa adjektif. Kata tugas dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu kata hubung, kata praklausa, kata prafrasa dan kata pascakata.
Kata Hubung
Kata hubung ialah kata yang menjadi penyambung ayat. Kata hubung terbahagi kepada dua iaitu kata hubung gabungan dan kata hubung pancangan. Kata hubung gabungan menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Antara kata yang tergolong dalam kata hubung gabungan ini ialah dan, lalu, atau, malahan, manakala, serta, sambil dan tetapi.
Kata hubung pancangan pula menyambung klausa yang tidak setara sifatnya. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu kata hubung pancangan relatif, kata hubung pancangan komplemen dan kata hubung pancangan keterangan. Kata yang digunakan untuk menunjukkan kata hubung pancangan relatif ialah yang. Manakala kata untuk menunjukkan kata hubung pancangan komplemen ialah bahawa dan untuk. Kata hubung pancangan keterangan pula  menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada pada klausa utama. Kata hubung keterangan terdiri daripada keterangan sebab iaitu kerana, lantaran, oleh, dan sebab. Seterusnya ialah keterangan syarat seperti sekiranya, kalau, jikalau, andaikata, dan jika. Kata hubung keterangan akibat pula menggunakan perkataan seperti hingga dan sehingga manakala kata hubung keterangan waktu seperti sementara, ketika, setelah, tatkala, semasa, selepas, apabila dan sebelum.
Kata Praklausa
Kata tugas yang seterusnya ialah kata praklausa. Kata praklausa ialah kata yang hadir di hadapan klausa. Kata yang tergolong dalam kata praklausa ialah kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pembenar dan kata pangkal ayat.
Kata seru digunakan untuk melahirkan perasaan dan menghasilkan ayat seruan. Perasaan tersebut termasuklah marah, sedih, kagum, gembira dan terkejut. Antara kata seru yang digunakan ialah aduh, ah, amboi, wah, cis dan sebagainya. Apabila menulis ayat seru, tanda seru mestilah ditulis pada hujung ayat, bukan selepas tanda seru.
Kata tanya pula digunakan untuk menanyakan sesuatu. Kata tanya ini digunakan bersama-sama dengan kata tanya iaitu mengapa, berapa, bagaimana, siapa, di mana, dan kenapa. Kata ini hadir sebagai perdikat atau sebahagian daripada predikat. Sekiranya kata ini dikedepankan, maka kata tersebut hendaklah disertai partikel –kah.
Golongan kata yang seterusnya ialah kata perintah. Kata ini digunakan dalam ayat perintah untuk menimbulkan satu gerak balas. Kata perintah yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah jangan, sila, usah, tolong, minta, jemput dan harap.
Seterusnya ialah kata pembenar. Terdapat tiga jenis kata pembenar dalam bahasa Melayu iaitu ya, benar dan betul. Kata ini digunakan untuk mengesahkan sesuatu pertanyaan.
Kata Prafrasa
Kata prafrasa ialah kata yang hadir di hadapan frasa, baik frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif. Kata prafrasa boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk iaitu kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata arah, dan kata bilangan.
Kata bantu ialah kata tugas yang membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama dengan menimbulkan makna-makna tambahan dari segi aspek waktu dan ragam. Kata bantu ini terbahagi kepada dua iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata bantu aspek menjelaskan perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini atau masa hadapan. Kata bantu aspek yang digunakan dalam ayat bahasa Melayu ialah akan, belum, masih, pernah, sedang, sudah dan telah. Kata bantu ragam pula menerangkan perasaan manusia yang berkaitan dengan perbuatan yang dilakukan. Antara kata bantu ragam ialah boleh, dapat, harus, mahu, hendak, dan mesti.
Kata prafrasa yang seterusnya ialah kata penguat. Kata penguat ialah kata yang hadir di hadapan atau belakang kata adjektif. Kata penguat berfungsi untuk menguatkan maksud kata adjektif. Kata penguat terbahagi kepada tiga jenis iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas. Contoh kata penguat ialah sangat, amat, paling, terlalu, agak, nian, sungguh, dan sekali.
Kata penegas pula ialah kata yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Kata penegas terbahagi kepada dua iaitu kata yang menegaskan frasa predikat atau bahagian-bahagiannya dan kata yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat. Kata penegas yang menegaskan frasa predikat ialah –kah, -tah dan –lah manakala kata penegas yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat seperti juga, pun, sahaja, lagi dan memang.
Seterusnya ialah kata nafi. Kata nafi ialah kata yang menafikan frasa-frasa predikat seperti frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Terdapat dua golongan kata nafi iaitu tidak dan bukan. Kata nafi bukan digunakan dalam frasa nama dan frasa sendi nama manakala kata nafi tidak pula menjadi unsur nafi kepada frasa kerja dan frasa adjektif.
Kata pemeri ialah kata yang menjadi unsur pemeri antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Kata pemeri yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah kata ialah dan adalah. Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama manakala kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Kata sendi nama hadir di hadapan frasa kata nama  dan frasa nama. Kata ini berfungsi untuk merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain. Kata sendi nama tidak boleh hadir di hadapan frasa nama yang menunjukkan masa atau zaman. Antara contoh kata sendi nama ialah di, ke, dari, daripada, kepada, pada, dan lain-lain lagi.
Kata arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan hala atau arah. Antara kata arah yang digunakan ialah atas, bawah, belakang, dalam, hadapan, luar, penjuru, sisi, tengah, selatan, tepi, sudut dan sebagainya.
Kata bilangan ialah kata yang menjadi penerang jumlah kepada frasa nama. Kata bilangan ini terbahagi kepada lima jenis. Salah satu daripadanya ialah kata bilangan tentu iaitu lima, enam dan seratus. Di samping itu, terdapat juga kata bilangan tak tentu iaitu banyak, beberapa, para, segala, semua, sekalian dan sabagainya. Kata bilangan himpunan pula seperti beratus-ratus, berbagai-bagai, kedua-dua dan ribuan. Seterusnya ialah kata bilangan pisahan iaitu masing-masing, tiap-tiap dan setiap. Kata bilangan pecahan pula ialah setengah, suku, separuh dan sebagainya.
Kata Pascakata
Kata pascakata ialah kata yang hadir selepas sesuatu kata. Bentuk kata yang terdapat dalam kata pascakata ialah kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan berfungsi untuk menegaskan kata yang bergabung dengannya seperti sebenarnya, sesungguhnya, dan sepatutnya. Kata pembenda pula menjadikan perkataan yang bergabung dengannya berubah menjadi kata nama contohnya sakitnya, panjangnya, dan kuatnya.

2 comments:

nura dyra said...

salam, saya nak tanya "mengenai" adakah termasuk dalam kata kerja?

"tembakan" betul ke termasuk dalam kata nama ?

jawapan admin amat diperlukan,
terima kasih

#pelajar Pra-u...

Anonymous said...

kpd nura dyra ,

tembakan merupakan kata nama.
sbgai cnth : tembakan itu , tembakannya , dsb