Pages

Sunday, October 2, 2011

SENI SILAT MELAYU

Seni silat Melayu ialah sejenis ilmu mempertahankan diri bangsa Melayu yang diamalkan sejak dahulu kala. Penemuan tinggalan sejarah di Candi Borobodur dan Candi Prambanan di Jawa membuktikan seni silat mula wujud di Kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi. Seni silat ini bermula di Kepulauan Riau dan kemudiannya berkembang ke Minangkabau, Sumatera. Di Sumatera, seni ini dikenali sebagai Pencak Silat. Ilmu silat ini pernah digunakan oleh Kerajaan Srivijaya, iaitu pada abad ke-7 hingga abad ke-14 bagi tujuan meluaskan empayarnya. Mereka yang mempelajari ilmu silat dipanggil pesilat.
Seni ini dikatakan mencapai kemuncaknya apabila terdapatnya penggunaan senjata. Antara senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat ialah keris, badik, kerambit, parang, pedang, parang lading, tumbuk lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan bertumpu kepada pertempuran tangan kosong.
Dari Minangkabau, ilmu silat berkembang ke Melaka. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, hanya golongan yang rapat dengan golongan istana sahaja yang diberi keistimewaan untuk mempelajari silat. Seni silat ini berkembang pula melalui rakyat jelata  dan seterusnya menjadi suatu kesenian desa. Sebagai contohnya, Laksamana Hang Tuah dikatakan mempelajari ilmu silat daripada Sang Adi Putera di Gunung Ledang dan Sang Persanta Nala di Pulau Jawa, Majapahit.
Pada zaman dahulu, hampir semua orang mengamalkan silat tetapi hanya yang benar-benar hebat yang layak digelar pendekar. Hanya mereka yang mempunyai keutuhan akhlak dan berhemah tinggi sahaja yang mampu mencapai tahap tersebut.
Antara beberapa kepentingan silat ialah:
1.     Mendekatkan diri kepada Allah Yang Esa.
2.     Dapat mempertahankan diri daripada ancaman bahaya.
3.     Mengajar taat  kepada ibu bapa yang melahirkan kita ke dunia.
4.     Menghargai hubungan sesama manusia dan belajar mengenai kehidupan sebenar Islam
5.     Membantu untuk lebih mendisiplinkan diri dan lebih menghargai diri.
6.     Menyihatkan tubuh badan yang secara tak langsung lebih mengaktifkan kebijaksanaan otak dan anggota badan.
7.     Membentuk keyakinan yang tinggi.

ASPEK DAN BENTUK SILAT
Aspek ataupun bentuk silat dapat dilihat dalam empat aspek utama. Pertama ialah aspek spiritual, iaitu berkenaan keperibadian seseorang pesilat. Silat dikatakan dapat membangunkan dan mengembangkan keperibadian dan karakter mulia seseorang pesilat. Para pendekar dan guru silat pada zaman dahulu hendaklah mencapai tahap semadi, tapa atau aspek kebatinan untuk mencapai tingkat tertinggi dalam keilmuannya.
Selain itu, terdapat juga aspek seni budaya. Budaya ini merangkumi bentuk seni tarian silat, muzik dan pakaian tradisional. Muzik merupakan satu misteri dalam silat. Biasanya, seni silat akan menggunakan serunai dan gendang. Alat muzik ini boleh menyebabkan seseorang pesilat ‘naik serbu’ apabila ia dimainkan. Kemahuan dalaman akan memaksa mereka untuk membuka sembah bagi memulakan pencaknya. Pakaian tradisional silat pula amat penting di dalam gelanggang kerana ia melambangkan identiti pesilat. Setiap pakaian mempunyai tali pinggang atau dipanggil bengkung pinggang. Bengkung ini terdiri daripada pelbagai warna seperti merah, hitam, kuning, putih, hijau dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan tahap ilmu yang dicapai oleh seseorang pesilat.
Seterusnya ialah aspek bela diri. Silat dipelajari untuk mempertahankan diri, bukan untuk menyerang atau menakut-nakutkan orang tertentu. Dalam hal ini, kepercayaan dan ketekunan diri sangat penting dalam menguasai ilmu bela diri.
Aspek yang terakhir ialah aspek olahraga, iaitu aspek fizikal. Pesilat akan menyesuaikan pemikiran dengan olah tubuh. Aspek ini meliputi pertandingan dan demonstrasi bentuk-bentuk jurus. Aspek olahraga inilah yang membuatkan silat terkenal di Eropah.
TINGKAT KEMAHIRAN
Tingkat  pertama dipanggil tingkat pemula. Pada tahap ini, pesilat akan  diajar perkara asas seperti teknik kuda-kuda, tendangan, pukulan, tangkisan, elakan, tangkapan, bantingan, olah tubuh dan jurus dasar.
Tingkat kedua pula ialah tingkat menengah. Pada tahap ini, pesilat lebih difokuskan kepada aplikasi  semua gerakan dasar, pemahaman, dan variasi. Di sini juga minat dan bakat pesilat mula terlihat. Seterusnya, pesilat ini akan disalurkan kepada cabang masing-masing iaitu cabang olahraga dan seni budaya.
Tahap yang ketiga dikenali sebagai tahap pelatih. Berdasarkan pengalaman di tahap pemula dan menengah,  mereka kemudiannya akan diberikan teknik-teknik bela diri perguruan. Teknik ini hanya diberikan kepada orang yang boelh dipercayai dan menggunakan ilmu ini dengan baik. Hal ini demikian kerana, teknik bela diri ini biasanya melibatkan teknik tempur yang sangat efektif untuk melemahkan lawan.
Tahap yang tertinggi dikenali sebagai pendekar. Pendekar merupakan pesilat yang sudah mahir dan mempunyai ilmu persilatan uang tinggi. Mereka juga bakal mewarisi ilmu-ilmu rahsia tingkat tertinggi.
JENIS-JENIS SILAT
Asas seni silat dapat dibahagikan kepada dua iaitu ‘bunga’ dan ‘buah’. Seni bunga ialah gerak tari yang lembut dan gemalai sebagai gerak untuk mengelirukan lawan. Manakala buah pula ialah gerak balas yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan. Pada zaman ini, wujud beratus-ratus perguruan silat. Setiap perguruan mempunyai gaya dan caranya yang tersendiri.
Silat Gayong
Antara jenis silat yang popular ialah Silat Gayong. Seni Silat Gayong dibawa ke Tanah Melayu oleh seorang putera Bugis dari Kepulauan Sulawesi bernama Daeng Kuning atau digelar Panglima Hitam. Seni Silat Gayong diajar berdasarkan nama silat itu sendiri iaitu Silat Gayong. Secara amnya, seseorang pesilat akan diajar pergerakan tangan  dan kaki secara sistematik. Peringkat ini dikenali sebagai  pelajaran bersilat.  Peringkat kedua pula ialah peringkat seni. Peringkat seni ialah peringkat pengenalan kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan membuat serangan balas ke atas sasaran.
Latihan seni silat Gayong biasanya dilakukan di tempat yang tidak berbumbung dan hanya dipagari oleh dinding yang tinggi. Hal ini bertujuan untuk menghalang sesiapa yang tidak berkenaan memasuki gelanggang. Latihan Seni Silat Gayong dimulakan dengan upacara membuka gelanggang iaitu dengan membaca ayay-ayat suci al-Qur’an dan diikuti dengan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T meminta agar dijauhkan segala mara bahaya semasa latihan sedang dijalankan.  Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan asas, pesilat akan berpasangan untuk mengelakkan serangan mengejut daripada pihak lawan yang mungkin terus bertindak agresif.  Biasanya terdapat beberapa orang pembantu jurulatih yang hadir untuk mengawal pasangan yang bergelut dan membetulkan mana-mana gerakan yang silap.
Ahli-ahli baru akan diberi latihan untuk menguatkan fizikal. Latihan ini dilakukan selama sebulan bagi melonggarkan otot-otot dan tendon. Kemudian, mereka berlatih  untuk memperbaiki teknik menumbuk dan menangkis. Pesilat juga didedahkan kepada kawasan-kawasan berbahaya pada tubuh.
Kesemua gerakan yang dipelajari adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran membuat serangan balas. Walaupun pesilat dimahirkan dengan teknik menyerang menggunakan tangan dan kaki, tetapi ia hanyalah untuk membiasakan pelatih  untuk bertindak balas  ke atas serangan yang berasaskan teknik tersebut. Serangan yang dibuat tanpa menggunakan teknik yang betul amat mudah dipatahkan. Sebaliknya, serangan yang terkawal dari segi sasaran, imbangan badan, dan penumpuan tenaga akan memberikan kesan yang kelas dan tepat.
Kemahiran yang perlu diperolehi oleh pesilat dalam latihan silatnya ialah :
1.     Gerakan membuka tapak dan serangan kaki dan tangan
2.     Gerakan serang balas jenis tangkapan-buah tapak kunci mati
3.     Gerakan serang balas ke atas kuncian-buah tapak kunci hidup
4.     Gerakan serang balas jenis pukulan-serangan harimau
5.     Gerakan jatuh pulih-senaman anak harimau
6.     Gerakan serangan bersenjata dan serang balas ke atas serangan bersenjata.

Latihan Seni Silat Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang dan pesilat dikehendaki
membaca ayat-ayat suci al-Qur’an sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang.

Silat Cekak
Silat yang popular seterusnya ialah silat cekak. Silat cekak berasal dari Kedah. Seni silat ini juga pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah pada zaman Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II. Terdapat beberapa definisi silat cekak. Cekak bermaksud ringkas. Keringkasan silat cekak ini dapat dilihat melalui sistem pelajaran yang sangat mudah dan cepat diperoleh.
Senjata yang digunakan dalam silat cekak ialah parang lading. Senjata ini digunakan sejak zaman dahulu lagi. Parang lading merupakan satu-satunya senjata yang digunakan dalam silat cekak. Dalam silat ini juga, tiada penggunaan keris, pisau, pedang, kelewang atau apa-apa sahaja. Parang lading tidak digunakan untuk menyerang tetapi untuk menunggu serangan dari segala jenis bentuk serangan kecuali senjata api.
Antara pantang larang yang terdapat dalam silat cekak ialah:
1.     Tidak boleh derhaka kepada guru
2.     Tidak boleh derhaka kepada ibu
3.     Tidak boleh derhaka kepada bapa
4.     Tidak boleh bergaduh sesama ahli
5.     Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli
Silat Tongkat
Silat yang seterusnya ialah silat tongkat. Silat tongkat berasal dari India dan telah dibawa masuk ke Kelantan oleh seorang rakyat India yang datang sebagai peniaga air teh kandar. Seni tari silat tongkat diberi nama kerana silat ini telah memasukkan dua elemen tarian dan elemen silat. Kedua-dua elelen ini telah digabungkan menjadi satu. Salah satu fungsi seni silat ini ialah untuk meninggalkan kesan kesenian yang indah kepada masyarakat.
Dari segi pengajarannya, seni silat ini terdiri daripada tiga peringkat pembelajaran iaitu peringkat Bunga Silat, Pecahan dan Buah Silat. Peringkat pertama iaitu peringkat bunga silat mempunyai tujuh jenis bunga silat. Bunga silat juga merupakan elemen yang akan digunakan semasa sesuatu persembahan diadakan contohnya seperti  majlis perkahwinan.
Peringkat kedua ialah peringkat pecahan. Peringkat ini memepunyai 110 jenis pecahan yang diajarkan selepas pesilat melepasi peringkat pertama. Pada peringkat ini, pesilat akan diajar tentang cara-cara untuk mempertahankan dan melepaskan diri daripada pihak lawan.
Peringkat yang terakhir ialah peringkat buah silat. Dalam seni tari silat tongkat, terdapat lebih 50 jenis buah silat akan diajar kepada pelajar. Buah silat ini penting kerana ia tidak boleh dipertontonkan kepada orang ramai. Buah silat ini disorokkan daripada pandangan ramai atas dasar memelihara seni permainan. Buah silat ini juga diajar oleh guru pada malam terakhir sebelum Majlis Perlimau.
MAJLIS PERLIMAU
Majlis Perlimau merupakan satu majlis penutup atau penamat bagi sesuatu pembelajaran seni silat. Dalam majlis ini, sambutan daripada pelbagai pihak dapat dilihat. Sebelum Majlis Perlimau diadakan, pelajar perlu melepasi kesemua peringkat yang perlu dipelajari. Keunikan majlis ini dapat dilihat apabila pesilat diberi tanggungjawab untuk menghias gelanggang silat. Contohnya membina pintu gerbang yang diperbuat daripada daun kelapa, membersihkan sekitar khemah dan menghias meja pulut semangat.
Pada pagi majlis, pesilat diwajibkan membawa seekor ayam kampung jantan yang disembeleh di dalam gelanggang. Selepas selesai persembahan, para pesilat akan mandi bunga iaitu tujuh jenis bunga sebagai tanda untuk menyelamatkan ilmu yang dipelajari daripada sebarang musibah. Akhir sekali, acara sembah guru pula akan diadakan, iaitu di rumah guru pada waktu malam. Dalam acara ini, pesilat hendaklah membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Mereka akan memohon maaf dan meminta izin ilmu.

No comments: