Pages

Wednesday, October 5, 2011

Ulasan Abdullah Munsyi

Nama sebenar Abdullah Munsyi ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan di Kampung Pali, Melaka pada tahun 1796 dan meninggal di Jeddah pada tahun 1854. Abdullah Munsyi merupakan seorang yang berketurunan Arab dan India. Namun demikian, beliau mengganggap dirinya sebagai orang Melayu. Gelaran Munsyi diberikan kepadanya oleh Sir Stamford Raffles yang bermaksud guru. Abdullah mula bekerja dengan bapanya iaitu menyalin dokumen-dokumen penting. Kemudian, beliau mengajar bahasa ibunda kepada askar-askar India dan British. Selain itu, beliau juga bekerja sebagai pentafsir dan jurutulis kepada Sir Stamford Raffles. Sepanjang hayat beliau, beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarawan, penterjemah, dan sebagainya. Selain itu, beliau juga  dapat menguasai banyak bahasa. Selain Arab dan Melayu, beliau juga boleh bercakap bahasa Hindi, Tamil, Kantonis dan Inggeris.
Abdullah Munsyi sangat terkenal dengan hasil penulisan riwayat hidupnya yang bertajuk Hikayat Abdullah. Selain itu, karyanya juga ialah Kisah Pelayaran Abdullah, Syair Abdullah Terbakar, Da’wail Kulub, Syair Kampung Gelam Terbakar, Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah dan lain-lain lagi. Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah walau bagaimanapun tidak sempat disiapkan kerana beliau meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Abdullah ialah penulis melayu yang pertama yang telah melakukan sesuatu yang menyimpang daripada adat resam dan kesusasteraan Melayu dalam bahasa surat. Dalam karyanya juga, Abdullah banyak mengkritik orang Melayu. Dialah yang memulakan zaman moden dalam masyarakat Melayu. Karya-karyanya lebih menjurus kepada kehidupan realistik dan berbeza daripada karya-karya sebelumnya. Contohnya karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang banyak mengandungi unsur-unsur magis dan mitos yang tidak masuk akal. Oleh itu, beliau dianggap sebagai pemula kepada kesusasteraan Melayu moden.
Beliau mengkritik kepercayaan-kepercayaan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain itu, beliau juga mengkritik tentang sistem kerajaan feudal Melayu yang menurut pandangannya sebagai zalim. Hal ini demikian kerana, pemikiran Abdullah Munsyi dipengaruhi oleh orang barat yang lebih moden. Beliau juga mengkritik cara hidup orang Melayu. Sebagai contoh, dia mengkritik makanan orang Melayu kotor dan orang Melayu juga mempunyai pemikiran kolot. Hal ini kerana Abdullah Munsyi bukanlah orang Melayu asli dan beliau ingin menyedarkan orang Melayu supaya meninggalkan segala kepercayaan yang tidak benar itu dan lebih bersikap terbuka.
Di samping itu, Abdullah Munsyi juga mengkritik sistem perundangan timur yang zalim dan mengutamakan golongan bangsawan, menyindir golongan pemerintah tempatan, dan mengkritik sikap isteri-isteri pembesar Melayu yang sombong. Abdullah Munsyi juga mendakwa bahawa orang-orang Melayu tidak mempunyai pendirian  dalam hal politik dan kebudayaan. Oleh itu, beliau menyarankan orang Melayu mencontohi orang Inggeris untuk mencapai kemerdekaan. Mengikut Abdullah Munsyi, kemunduran orang-orang Melayu bukanlah disebabkan malas tetapi keranas sikap raja dan golongan bangsawan yang selalu memeras mereka. Di Kelantan, diceritakan rakyat seolah-olah berfungsi untuk memberi khidmat kepada raja dan kerabatnya sahaja. Di Terengganu pula, Abdullah Munsyi mengkritik sistem perhambaan yang diamalkan di sana. Dia juga mengkritik adat dan pantang larang yang yang dikenakan kepada rakyat. Sindirnya, tidak pernah ada larangan menghisap madat, memakai pakaian kotor, membiarkan anak-anak yang tidak berpelajaran dan membiarkan jalan dan lorong penuh sampah, kotor, semak dan sebagainya.
Dari segi gaya bahasa penulisannya, Abdullah Munsyi sudah meninggalkan ungkapan-ungkapan yang usang dan  bahasa berirama yang sering digunakan dalam karya sastera lama. Sebagai ganti, beliau telah menggunakna ungkapan yang spontan dan agak terpengaruh dengan bahasa pertuturan sehari-hari. Susunan ayatnya juga tidak berbelit-belit.
Tulisan Abdullah Munsyi juga berdasarkan kepada peristiwa yang benar-benar berlaku. Begitu juga dengan watak yang dilukiskan dalam karya beliau. Beliau menggunakan watak manusia yang betul-betul hidup, bukan watak dewa-dewi, jin dan mambang. Watak dalam karya beliau lebih kepada orang Melayu di pasar, orang Inggeris, India dan sebagainya. Nama-nama tempat yang digunakan juga betul-betul wujud contohnya Kelantan, Terengganu, Pahang, Singapura dan sebagainya. Melalui unsur kritikan dalam karyanya, Abdullah Munsyi telah berjaya mengangkat sastera Melayu kepada satu tingkat iaitu daripada feudal kepada moden.

No comments: