Pages

Sunday, May 13, 2012

Pesanan Buat Bakal Isteri

Di hari pengantin Al-Haris bin Amr, Raja Negeri Kandah, ibu pengantin perempuan memberi pesanan kepada anaknya sebagai bekalan untuk menjalani hidup seterusnya sebagai seorang isteri sultan.

"Wahai puteriku, engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah hamba wanita baginya, tentu dia akan jadi hamba bagimu serta menjadi pendamping setia. Peliharalah sepuluh perkara terhadapnya tentu dia akan menjadi perbendaharaan yang baik buatmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, jaga tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, jaga waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, jaga hartanya dan pelihara kehormatan serta keluarganya.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang suruhannya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mematuhi suruhannya, bermakna kamu melukai hatinya, Jika kamu membuka rahsianya maka kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih ketika dia gembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, pasti nanti dia akan memuliakanmu. Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredhaannya daripada keredhaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."

No comments: