Pages

Friday, May 18, 2012

Pantun Melayu lama

Assalamualaikum murid-murid..hari nie cikgu Nora nak ajar mengenai pantun.. kalau awak semua nak tahu, pantun pada zaman dahulu kaya dengan falsafah. setiap pembayang yang digunakan mempunyai maksud tersendiri, bukan sekadar untuk melengkapkan maksud sahaja. Seperti mana yang kita tahu, setiap pantun perlu mempunyai pembayang dan maksud, dan rimanya mesti sama iaitu a-b-a-b. Tetapi, pantun dahulu menggunakan pembayang yang sangat kena dengan maksud pantun. Contohnya perhatikan pantun ini :

pucuk pauh delima batu,
air sambilan di tapak tangan,
sungguh jauh negeri satu,
hilang di mata di hati jangan.

Baiklah. Sekarang kita lihat apa maksudnya. Kita ambil dulu maksud pantun tersebut, "sungguh jauh negeri satu, hilang di mata di hati jangan". Negeri satu yang dimaksudkan ialah negeri akhirat. Jadi, maksudnya akhirat itu satu negeri yang jauh, di mana mereka yang pergi tak akan kembali lagi. "Hilang di mata di hati jangan" pula bermaksud walaupun dia telah pergi jauh, harap tak dilupakan arwah. Oleh itu, hendaklah sentiasa berdoa untuk mereka yang telah pergi. Minta agar Allah ampunkan segala dosa-dosanya.

Kemudian, kita selusuri pembayangnya pula, iaitu "pucuk pauh delima batu". Adakah orang dahulu sengaja suka-suka menggunakan pucuk pauh delima batu di dalam pembayang hanya untuk melengkapkan maksud dan agar sama dengan rima akhirnya? Tidak. "Pucuk pauh delima batu" ialah bahan yang digunakan untuk memandikan mayat. "Air sambilan di tapak tangan" pula bermaksud air daripada pucuk pauh dan delima batu itu, dituang pada telapak tangan terlebih dahulu sebelum jatuh ke atas mayat.

Begitu juga dengan pantun ini :

pisang emas dibawa belayar,
masak sebiji di atas peti,
hutang emas boleh dibayar,
hutang budi dibawa mati.

Kenapa pisang emas yang digunakan, dan kenapa pula pisang itu diletak di atas peti?  Jawapannya ialah pisang emas digunakan untuk menunjukkan tempoh orang dahulu berlayar. Tambahan pula, pisang ini masak sesisir-sesisir, cepat masak, tahan lama untuk dibawa belayar, dan boleh mengatasi mabuk laut. Tetapi kenapa pula kena letak atas peti, bukan di bawah peti atau dalam peti? Apa pula kaitan Pisang emas dengan hutang emas dan belayar? Pisang ialah simbol kemiskinan masyarakat dahulu. Orang miskin terpaksa belayar demi mencari kekayaan untuk membayar hutang mereka.

Demikianlah orang-orang dahulu yang bijaksana tak perlu mengambil kursus Kesusasteraan Melayu di UPSI untuk mencipta sebuah pantun yang penuh keindahan, keajaiban, dan kekreatifan. Mereka mampu mencipta serangkap pantun yang membawa makna yang utuh tanpa perlu memisahkan struktur pembayang dan maksud. Kalau kita? Nak rima akhir saja sama, tapi maksud pembayang langsung tak ada motif. Asalkan rimanya sama. Ye tak?

Seronok juga cari maksud pantun. Ayuh teroka pantun lain pula!



No comments: