Pages

Wednesday, October 5, 2011

Penulis India Di Malaysia : Uthaya Sankar

Pembabitan sasterawan kaum India dalam sastera kebangsaan bermula sebelum negara memperoleh kemerdekaan. Tokoh India yang telah mempelopori bidang sastera ialah Nagalingam yang berasal dari Parit Buntar, Perak. Karya pertama beliau ialah sebuah cerpen berjudul “Cerita Orang Yang Tiada Menerima Syukur”. Nagalingam merupakan perintis mengembangkan karya kreatif dalam kalangan sasterawan kaum India. Kemudian, perkembangan cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India terbantut akibat Perang Dunia Kedua serta pendudukan Jepun. Walau bagaimanapun kekosongan ini hanya bersifat sementara.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, muncul penulis kaum India yang lebih komited dalam penulisan kreatif seperti Joseph Selvam, N. S Maniam, A. Nagappan, P. Palaniappan, Ignatius Dev serta G. Soosai. Dr Krishanan Maniam dalam bukunya Cerpen Tamil dan Melayu: Perbandingan Tema dan Struktur menjelaskan bahawa kumpulan penulis ini telah menulis pelbagai karya menarik seperti cerpen, sajak, puisi, esei serta cerita klasik dalam Bahasa Malaysia. Di samping menghasilkan karya kreatif dalam Bahasa Malaysia, mereka turut menterjemah beberapa sajak, cerpen dan cerita klasik dari Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia dan sebaliknya.

UTHAYA SANKAR SB
Uthaya Sankar SB merupakan penulis India yang tidak asing dalam dunia sastera di Malaysia. Sasterawan Malaysia ini juga pernah menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Beliau lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Negeri kelahirannya sering menjadi latar dalam karyanya. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, kemudian Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
Beliau gemar menghasilkan cerpen, novel dan artikel menggunakan bahasa Melayu. Terdapat juga penulisan yang dihasilkan oleh Uthaya Sankar telah diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Inggeris. Beliau gemar menulis menggunakan bahasa Melayu kerana beliau sangat fasih berbahasa Melayu berbanding dengan bahasa Tamil itu sendiri. Hal ini demikian kerana, beliau telah dibesarkan dalam persekitaran masyarakat Melayu sejak dari kecil lagi.
Uthaya Sankar berpengalaman luas sebagai pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), HELP Institute, Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT), The One Academy, Yamaha Academy of Arts & Music, Kolej Prime USJ, Kolej Antarabangsa MSC, Kolej Antarabangsa Summit, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej Optima. Selain itu, beliau juga merupakan penyunting berita televisyen (Bahasa Malaysia), penyampai berita TV (Bahasa Malaysia), pengulas segmen Akhbar Hari Ini dan Penyelia Bilik Operasi Unit Bencana RTM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta penyunting berita di Bernama Radio24.
Beliau turut menubuhkan Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Beliau berpengalaman luas sebagai pengacara majlis, penceramah, moderator, fasilitator, pemudah cara, penterjemah dan pembimbing.
ANUGERAH YANG DICAPAI
Karya Uthaya Sankar SB pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992, 1993 & 1996), Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993), Hadiah Cerpen Esso-Gapena (1996), Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99) serta Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003).

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Duta Keamanan (Ambassador for Peace) daripada Universal Peace Federation pada 24 Ogos 2008 atas sumbangan terhadap keamanan, persefahaman dan perpaduan melalui penulisan. Antara penulisan Uthaya Sankar yang membawa perpaduan ialah Orang Dimensi, Siru Kambam, Yang Aneh-aneh, Nayagi, Sasterawan Pulau Cinta, Rudra Avatara dan Kathakali.

PERJUANGAN UTHAYA SANKAR SB

Uthaya Sankar juga merupakan presiden Kavyan. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) diasaskan pada 22 Ogos 1999 oleh sekumpulan penulis dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia daripada kalangan kaum India. Kavyan aktif menganjurkan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni, dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Kavyan ialah Apresiasi Sastera Kanak-kanak di sekolah rendah, Apresiasi Sastera Remaja di sekolah menengah dan kolej, Bengkel Cerpen Kavyan untuk membimbing penulis muda, Bengkel Cereka UPSR untuk memupuk bakat penulisan kreatif dalam kalangan kanak-kanak, Diskusi Sastera Kavyan untuk membincangkan karya secara ilmiah serta Kunjungan Sastera Kavyan ke estet dan kawasan luar bandar. Aktiviti yang dijalankan ini terbuka kepada semua bangsa Malaysia tanpa mengira kaum.

Melalui karya beliau, kita dapat lihat perkara utama yang diperjuangkannya ialah perpaduan. Dalam karyanya, beliau sering menyentuh berkenaan kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Hal ini bertujuan supaya pembaca dapat mengetahui dan menerima budaya dan amalan mereka.

karya Uthaya Sankar juga selalu menyentuh kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Beliau telah selitkan gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua.karya Uthaya Sankar juga selalu menyentuh kehidupan seharian kaum India di Malaysia. Beliau telah selitkan gaya hidup dan budaya mereka untuk tatapan semua.

Selain perpaduan, Uthaya Sankar SB adalah Pejuang Bahasa Malaysia.  Kini terdapat ramai penulis India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis atau sasterawan ini mempunyai bakat penulisan dan menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum dalam Bahasa Malaysia bermutu. Maka penulis pelbagai kaum, sastera dan bahasa mula seiring memupuk semangat dan jiwa “Bangsa Malaysia” dalam kalangan rakyat negara ini.

“Bangsa Malaysia, bahasa Malaysia” yang diperjuangkan oleh Uthaya Sankar dengan harapan ingin mewujudkan satu persefahaman, tolak ansur, saling menghormati dan memahami antara kaum, agama, etnik, keturunan, kepercayaan dan sebagainya. Uthaya Sankar juga meminta supaya semua pihak tidak meninggalkan kebudayaan asal masing-masing. Uthaya Sankar juga mahu wujud perpaduan sejati antara kaum di Malaysia melalui karya sastera. Contohnya, menurut beliau, masalah perkauman dapat dilihat di sekolah-sekolah apabila pelajar lebih senang bergaul sesama mereka sendiri.

No comments: